JOHOR BAHRU - Dua peniaga mercun masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan cuai dalam mengendalikan bahan letupan dalam milikan mereka, minggu lalu.
Hukuman itu ke atas Othman Abu Kasim, 31, dan Muhammad Husaini Ehsa, 36, dikenakan Majistret Nabilah Nizam selepas mereka mengaku bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama dengan cuai meninggalkan bahan letupan dengan tidak mematuhi jarak yang selamat antara bahan letupan dalam milikan mereka itu iaitu sejumlah mercun dalam gerai bunga api dengan bahan api yang terkandung dalam kenderaan-kenderaan yang diparkir berhampiran dengan jalan berkenaan.
Perbuatan itu adalah memadai dalam menghindarkan kebahayaan yang munasabah kepada nyawa manusia akibat bahan letupan itu.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Majidee Corner, Jalan Bunga Kemboja Majidee, Kampung Sulaiman Menteri, Majidee di sini, kira-kira jam 8.20 malam, 23 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 286 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K Vijayan yang mewakili tertuduh memberitahu Othman bekerja sebagai juruteknik dan sudah bercerai, manakala Muhammad Husaini yang bekerja dalam perkhidmatan kawalan serangga, sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
**media[3477349]**
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan kepada setiap tertuduh dan jika mereka gagal membayar denda berkenaan, boleh dipenjara selama empat bulan.
Sebelum itu, pada minggu lalu media melaporkan sebuah khemah terbuka yang menjual mercun dan bunga api musnah dalam satu kebakaran di Kampung Dato Sulaiman Menteri.
Kebakaran turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dan sebuah ‘food truck’ terbakar.
Susulan kejadian itu, dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.

