Pelawak dan penyampai radio, Shuib memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan terbuka Jep Sepahtu yang mendakwa dirinya masih memainkan sentimen persahabatan bagi meraih perhatian umum.
Pemilik nama Shahmira Muhammad, 42, berkata, beliau mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan memanjangkan lagi kemelut yang sudah sekian lama berlarutan antara mereka.
Jelas Shuib, tidak berhasrat untuk mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya tak ada nak cakap apa-apa. Terima kasih,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib mengakui sudah membaca hantaran berkenaan selepas seorang rakannya menghantar tangkap layar kenyataan Jep kepadanya.
Meskipun mengetahui kandungan hantaran tersebut, Shuib tetap dengan pendiriannya untuk tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Ada kawan hantar screenshot hantaran tersebut, saya baca juga.
“Takkan ada komen apa-apa daripada saya,” ujarnya.
Terdahulu, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 41, meluahkan rasa muak terhadap isu persahabatan mereka yang didakwanya terus dijadikan bahan perbualan dan publisiti.
Menerusi hantaran di Instagram, Jep mendakwa Shuib masih memainkan sentimen persahabatan dalam kandungan podcast sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap dirinya.
Jep turut mendakwa sebahagian cerita yang dikongsikan menerusi podcast berkenaan telah direka atau ditokok tambah.
Malah, Jep sebelum ini turut mempersoalkan dakwaan berkaitan urusan bayaran kumpulan dan menegaskan bahawa segala urusan pembayaran sepanjang mereka bekerjasama dilakukan secara individu, bukannya berkumpulan.
Untuk rekod, hubungan antara tiga bekas anggota kumpulan Sepah iaitu Jep, Shuib dan Mamat dilaporkan mula mengalami keretakan sejak 2014.

Kemelut berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Shuib dan Mamat berkongsi kisah penubuhan kumpulan Sepah menerusi temu bual dalam Dol’s Podcast.
Perkongsian itu kemudiannya mencetuskan reaksi Jep yang tampil mempertikaikan beberapa perkara dibangkitkan, sekali gus menyebabkan perselisihan lama mereka kembali mendapat perhatian umum.
Sumber: mStar Online







