
KUALA LUMPUR: Pelawak, Jep Sepahtu mengakui sudah terlalu muak dengan isu membabitkan persahabatannya dengan Shuib, malah meminta agar perkara itu tidak lagi dijadikan bahan untuk kepentingan atau pemasaran.
Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata, dia sudah memohon maaf kepada Shuib meskipun mendakwa pelbagai perkara telah dilakukan terhadap dirinya.
Menurut Jep, dia tidak mempersoalkan sekiranya mesej yang dihantar menerusi WhatsApp tidak mendapat balasan, namun tidak wajar perkara berkaitan persahabatan mereka dipertontonkan kepada umum seolah-olah hanya satu pihak yang lebih menghargai hubungan tersebut.
“Aku dah minta maaf walaupun macam-macam dah kau buat kat aku. Aku dah tersangat muak dengan isu ini. Aku tak kisah pun kau tak balas WhatsApp aku tetapi janganlah di depan orang ramai kau berlakon kononnya kau yang paling mulia dalam bersahabat.
“Mungkin kau risau kalau isu ini selesai, dah tak ada pula isu untuk kau mainkan. Teringat dulu kau pernah cakap ‘publisiti buruk tetap publisiti’. Hari ini aku nak ingatkan kau, yang aku sama seperti dulu, tidak menghambakan diri kepada perkara-perkara publisiti ini.
“Sudah-sudahlah memainkan sentimen persahabatan untuk pemasaran kau. Permainan apa sebenarnya yang kau nak main ini? Atau kau tengah khayal?” katanya dalam satu perkongsian di Instagram hari ini.
Dalam pada itu, Jep turut membangkitkan mengenai kenyataan Shuib dalam sebuah podcast berkaitan isu bayaran yang menurutnya perlu diperjelaskan bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
Jep berkata, urusan bayaran sebelum ini tidak pernah dibuat secara berkumpulan, sebaliknya setiap individu mempunyai urusan masing-masing.
“Lagi satu, Rahim ada tunjuk aku video podcast kau cakap pasal bayaran. Kita tak pernah berurusan mengenai bayaran untuk kumpulan. Dari dulu semuanya urusan secara individu.
“Kalau betul memang ada cerita pasal bayaran itu, sebut sahaja nama dengan jelas, senang sedikit aku nak hantar surat tuntutan. Jangan berkias-kias dalam podcast dan bersungguh-sungguh membuat orang bersangka buruk sehingga membenci aku.
“Aku dah biasa mengotorkan tangan untuk memastikan hasilnya bersih daripada mencuci wang untuk nampak diri sendiri bersih.
“Daripada kau terus membuat fitnah, lebih baik kau selesaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) orang yang sudah kau potong tetapi tidak dibayar. Aku bukan jenis yang makan hak orang, bro,” katanya.
Jep turut menegaskan bahawa dia sentiasa mengambil berat mengenai sumber pendapatan yang diterimanya dan tidak berminat menjadikan publisiti sebagai keutamaan dalam kehidupan.
“Insya-Allah aku sangat jaga sumber yang aku dapat. Aku ingat ‘air sales’ (jualan iklan) mencecah RM150 juta dah boleh hidup tenang. Macam-macam orang dah kau kumpulkan dalam podcast kau untuk memburukkan aku, itu pun masih tak tenang?
“Ya, kau orang baik, aku orang jahat. Pergilah selamatkan diri kau. Pesanan terakhir aku, jangan ganggu aku yang tengah sibuk memberi perhatian untuk membesarkan dua anak syurga aku.
“Kalau hidup kau tak tenang, itu kau punya pasal. Jangan ganggu hidup orang lain. Jangan asyik memburukkan orang untuk menutup pekung sendiri,” katanya.
Jep pada masa sama meminta agar isu berkaitan hubungan persahabatannya dengan Shuib dihentikan dan tidak lagi dibawa ke ruang awam.
Katanya, tumpuan kini diberikan kepada keluarga, terutama dua anaknya, dan dia tidak mahu kehidupannya terus diganggu dengan polemik yang berpanjangan.
The post Daripada terus buat fitnah, lebih baik kau selesaikan isu KWSP yang kau tak bayar – Jep Sepahtu appeared first on Utusan Malaysia.






