Jep Sepahtu ‘Meletup’, Dakwa Shuib Jadikan Isu Persahabatan Bahan ‘Marketing’

Entertainment
8 Oct 2026 • 6:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu tampil bersuara mengenai konflik persahabatannya dengan Shuib yang kembali menjadi perhatian selepas beberapa perkara berkaitan hubungan mereka disentuh dalam sebuah podcast.

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 41, mendakwa dirinya sudah muak apabila isu persahabatan tersebut terus dibangkitkan secara terbuka dan dikaitkan dengan urusan pemasaran serta publisiti.

Menerusi hantaran di Instagram hari ini, Jep berkata beliau sudah memohon maaf kepada Shuib walaupun mendakwa terdapat pelbagai perkara yang dilakukan terhadapnya sebelum ini.

“Aku dah minta maaf walaupun macam-macam dah kau buat kat aku. Aku dah tersangat muak dengan isu ini.

“Aku tak kisah pun kau tak reply WhatsApp aku tapi janganlah depan public kau wayang kononnya kaulah yang terpaling mulia dalam bersahabat,” katanya.

Image from: Jep Sepahtu ‘Meletup’, Dakwa Shuib Jadikan Isu Persahabatan Bahan ‘Marketing’

Jep turut mengingatkan Shuib mengenai kenyataan terdahulu bahawa bad publicity is still publicity, selain mempersoalkan tindakan menggunakan sentimen persahabatan sebagai bahan pemasaran.

“Sudah-sudahlah main sentimen persahabatan untuk kau punya marketing. Game apa sebenarnya yang kau nak main ni?” tulisnya.

Isu berkenaan turut menyentuh soal bayaran yang dibincangkan dalam podcast membabitkan Shuib dan Mamat ketika mendapatkan pandangan pelawak Azlee Senario mengenai isu pembahagian bayaran dalam kumpulan.

Jep menegaskan urusan pembayaran sebelum ini tidak pernah dibuat untuk kumpulan, sebaliknya dilakukan secara individu.

“Kita tak pernah deal payment untuk kumpulan. Dari dulu semuanya deal individu.

“Kalau betul memang ada cerita pasal payment tu, gentle sebutlah nama, senang sikit aku nak hantar LOD,” katanya.

Beliau turut meminta supaya sebarang dakwaan berkaitan dirinya dinyatakan secara jelas dan tidak disampaikan secara berkias sehingga menyebabkan orang ramai bersangka buruk terhadapnya.

Dalam pada itu, Jep berkata beliau kini hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarganya dan meminta Shuib supaya tidak lagi mengganggu kehidupannya.

“Pesanan terakhir aku jangan ganggu aku yang tengah sibuk beri perhatian besarkan dua anak syurga aku.

“Kalau hidup kau tak tenang itu kau punya pasal. Jangan ganggu hidup orang lain,” katanya.

Sementara itu, Shuib memilih untuk tidak melayan luahan tersebut dan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Shuib atau Shahmira Muhammad, 42, berkata beliau sudah membaca hantaran Jep selepas menerima tangkap layar daripada seorang rakan, namun tidak mahu memberikan sebarang komen.

“Saya tak ada nak cakap apa-apa. Terima kasih,” katanya ketika dihubungi portal mStar.

Untuk rekod, hubungan antara Jep, Shuib dan Mamat yang pernah bersama dalam kumpulan Sepah sebelum ini sering menjadi perhatian, termasuk selepas beberapa kisah mengenai perjalanan kumpulan berkenaan dibincangkan dalam podcast. - Getaran, 8 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved