
MERSING – Tindakan seorang lelaki memotong kenderaan dan membunyikan ekzos dengan kuat membawa padah apabila dia dipukul dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, di sini selepas perbuatannya itu menyebabkan seorang bayi terjaga dan menangis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah menerima maklumat berkaitan video tular rakaman berdurasi satu minit 45 saat itu di aplikasi Threads yang dimuat naik oleh pemilik akaun Ameera@kopikemilo_ hari ini.
Katanya, siasatan mendapati kejadian kira-kira pukul 1 pagi pada Jumaat lalu itu berlaku di sebuah kedai serbaneka.
“Kejadian tersebut telah tercetus apabila suspek satu lelaki tempatan telah marah dan memukul mangsa satu lelaki tempatan berpunca dari mangsa yang dikatakan memotong kenderaan yang dinaiki suspek dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi yang dipangku isterinya terjaga dan menangis.
“Mangsa kemudiannya telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan “soft tissue injury” pada bahagian pipi kiri dan perut. Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada seseorang.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan boleh juga dikenakan denda maksimum sehingga RM2000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan telah dilengkapi dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor hari ini dan arahan yang diterima adalah untuk menuduh suspek di Mahkamah Majistret Mersing pada esok.
Jelasnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi yang akhirnya boleh memakan diri.-KOSMO! ONLINE
The post Kena tampar, tendang gara-gara ekzos kuat appeared first on Kosmo Online.

![Tular Lelaki Belasah Individu Kerana Bunyi Ekzos Kuat, Polis Sahkan Mangsa Alami Kecederaan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/Tular-Video-Lelaki-Belasah-Individu-Kerana-Bunyi-Ekzos-Kuat-Polis-Sahkan-Mangsa-Alami-Kecederaan.jpg?t=1790688982)

