Tular Lelaki Belasah Individu Kerana Bunyi Ekzos Kuat, Polis Sahkan Mangsa Alami Kecederaan [Video]

29 Sep 2026 • 9:34 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Tular Lelaki Belasah Individu Kerana Bunyi Ekzos Kuat, Polis Sahkan Mangsa Alami Kecederaan [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hanya kerana tidak berpuas hati dengan bunyi ekzos kenderaan yang kuat, seorang lelaki telah bertindak menampar dan menendang seorang individu di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Ismail di Mersing, Johor.

Kejadian itu berlaku pada jam 1 pagi, 25 September apabila suspek berasa berang bunyi ekzos kenderaan mangsa telah mengejutkan bayinya yang sedang tidur.

Suspek Berang Selepas Mangsa Potong Kenderaan & Bunyikan Ekzos Kuat Hingga Sebabkan Bayi Terjaga – Polis

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu tular di media sosial.

“Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku selepas suspek yang juga lelaki tempatan berang apabila mendakwa mangsa memotong kenderaan dinaikinya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi dipangku isterinya terjaga dan menangis,” kata kenyataan polis di laman Facebook sebentar tadi (29 September).

Mangsa Dapatkan Rawatan Di Hospital, Cedera Di Bahagian Pipi & Perut Akibat Dipukul

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata mangsa mengalami kecederaan tisu lembut melibatkan bahagian pipi dan perut susulan dipukul suspek.

“Mangsa kemudiannya telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian pipi kiri dan perut,” katanya.

Siasatan Bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Suspek Boleh Dipenjara & Didenda RM2,000 Jika Didapati Bersalah

Abdul Razak berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Jika disabit kesalahan, individu boleh dihukum penjara satu tahun dan dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelas Polis Diraja Malaysia (PDRM), kertas siasatan berhubung kes sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor untuk tindakan selanjutnya.

“Pertuduhan ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing pada 30 September 2026 (esok). Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi yang akhirnya boleh memakan diri,” kata Abdul Razak.

Individu Ditampar & Ditendang Lelaki Sehingga Terduduk Di Chiller 7E

Sebelum ini, tular video CCTV di laman Threads apabila seorang individu mendakwa rakannya ditampar dan ditendang oleh seorang lelaki hanya kerana berasa berang bunyi ekzos kenderaan yang kuat telah mengejut dan membuatkan bayinya menangis.

Menerusi video terbabit, kelihatan seorang lelaki sedang berkata sesuatu sebelum bertindak menampar dan menendang individu itu sehingga terduduk di bahagian penyejuk (chiller) kedai berkenaan.

Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut bertindak menarik rambutnya sebelum dihentikan oleh seorang wanita yang sedang mendukung bayi dipercayai isterinya.

“Sakit hati aku tengok kawan aku kena tampar kena tendang atas sebab kereta member aku bunyi bising dan buat anak dia terbangun (atas jalan raya tau).

“Rasanya tak payah kot sampai nak naik tangan bagai? Nak tunjuk diri kau tu baran ke? Silap besar la pukul anak orang dekat 7e memang muka kau nampak dekat CCTV,” katanya.

Namun menerusi semakan kami, hantaran asal (OP) sudah pun dipadam di laman Threads.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved