Kenaikan harga diesel: MOTAC teliti kesan terhadap sektor pengangkutan pelancongan

LocalTravel
21 Mar 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiong King Sing

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memantau secara rapat kenaikan harga diesel baru-baru ini serta tekanan yang dihadapi sektor pengangkutan pelancongan akibat peningkatan kos operasi.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pengusaha, khususnya mereka yang bergantung kepada penggunaan diesel dalam operasi harian.

Menurutnya, jika tidak ditangani dengan baik, keadaan itu berpotensi memberi kesan berantai kepada pelancongan masuk, perniagaan serta kestabilan keseluruhan ekosistem pelancongan negara.

“Saya telah menerima maklum balas daripada persatuan dan pihak berkepentingan berkaitan, dan mengarahkan kementerian memulakan konsultasi segera dengan Kementerian Kewangan.

“Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada situasi semasa serta mempertimbangkan langkah-langkah bersasar, termasuk sokongan bersifat sementara bagi mengurangkan tekanan jangka pendek yang timbul daripada keadaan semasa, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh perkembangan di Asia Barat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sektor pengangkutan pelancongan merupakan tonggak penting dalam industri pelancongan negara dan perlu diberi perhatian bukan sahaja dari sudut kos, tetapi juga aspek jangka panjang.

Ujarnya, usaha memperkukuh piawaian keselamatan, prestasi kenderaan serta mutu perkhidmatan kepada pelawat perlu diteruskan seiring dengan langkah menangani tekanan semasa.

“Sehubungan itu, sebarang langkah yang diambil akan berpandukan pendekatan untuk menstabilkan dan menaik taraf sektor ini.

“Matlamat kita adalah membantu pengusaha mengharungi tempoh mencabar ini, selain menggalakkan penambahbaikan secara berperingkat termasuk pembaharuan kenderaan, sokongan kewangan yang bersesuaian serta penambahbaikan keseluruhan rangka kerja pengawalseliaan,” ujarnya.

Tambah beliau, objektif kerajaan bukan sekadar meredakan kesan langsung, tetapi membina sistem pengangkutan pelancongan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

Dalam pada itu, King Sing turut menggesa pemain industri supaya terus berhubung rapat dengan kerajaan serta terlibat dalam dialog yang rasional dan membina.

“Hanya melalui kerjasama, kita dapat menstabilkan sektor ini dalam persekitaran semasa dan menyediakan asas kukuh bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.

Beliau turut berharap semua pihak kekal tenang, bertindak secara berhemah dan tidak dipengaruhi emosi, sambil menegaskan kerajaan akan berusaha menyeimbangkan pelbagai kepentingan dalam mencari penyelesaian munasabah.

“Langkah yang diperkenalkan mungkin tidak memenuhi kehendak semua pihak sepenuhnya, namun kami akan memastikan pengaturan paling sesuai dilaksanakan dengan mengambil kira kebolehlaksanaan keseluruhan serta kepentingan jangka panjang industri,” tambahnya.