amree05/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Hartalega Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2027 dengan kenaikan harga jualan purata (ASP) yang turut melonjakkan keuntungan bagi suku pertama, kata MBSB Research.
Situasi itu mengimbangi tekanan kos bahan mentah dan persaingan sengit daripada pengeluar China, walaupun industri sarung tangan getah berdepan lebihan kapasiti global, dan peningkatan kos nitril.
Ujarnya, kumpulan tersebut berada pada kedudukan yang kukuh susulan disiplin kawalan kos, kecekapan operasi dan strategi ASP bagi mengharungi persaingan harga di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS).
"Justeru kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Hartalega dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.73 daripada RM1.24 selepas prestasi mengatasi jangkaan," jelas MBSB Research dalam nota.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi 1QFY27 melebihi 100% kepada RM73 juta berbanding hanya RM9 juta pada tempoh sama FY26, manakala hasil naik 10% kepada RM606 juta.
Menurutnya, prestasi kukuh itu dipacu peningkatan ASP kepada AS$28 (RM116) bagi setiap 1,000 keping sarung tangan, berbanding AS$20 (RM82) pada suku pertama 2026, dan menyerap kesan penurunan jualan.

Pada masa sama ujar MBSB Research, kenaikan itu mengimbangi peningkatan kos bahan mentah apabila harga nitril (NBR) naik 20%, selain disokong usaha berterusan Hartalega mengoptimumkan kos operasi.
"Kami menjangka pertumbuhan jualan apabila kadar penggunaan kilangnya kini mencecah 96%, manakala kerja naik taraf dijangka siap akhir tahun dengan penambahan sistem teknologi yang moden," katanya.
Pembukaan semula Loji 3 diunjur menambah kapasiti pengeluaran 4 bilion keping sarung tangan, sekali gus meningkatkan pengeluaran serta memperkukuhkan keupayaan syarikat memenuhi permintaan global.
Bagaimanapun, MBSB Research menjangka Hartalega menyemak semula ASP dalam beberapa suku berikutan kenaikan kos bahan mentah, walaupun berpotensi menyebabkan pelanggan menunda pembelian.
Sehubungan itu, ia mengunjurkan margin bagi suku kedua tahun kewangan 2027 sekitar 18% berikutan penggunaan inventori kos tinggi dan tekanan persaingan pengeluar China di pasaran bukan AS.
"Jika diambil kira prestasi semasa, kami menaikkan unjuran keuntungan bagi FY27 hingga FY29 masing-masing 80%, 73% dan 72%, sambil berpandangan saham layak didagangkan pada harga premium," jelasnya.
Keadaan itu tambah MBSB Research, disokong kedudukan tunai bersih Hartalega yang kukuh, kecekapan operasi serta prospek pertumbuhan mampan dalam fasa pemulihan industri. - DagangNews.com




