Hartalega catat untung bersih RM70 juta bagi 1QFY27, naik 468% didorong harga jualan lebih tinggi

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 2:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hartalega catat untung bersih RM70 juta bagi 1QFY27, naik 468% didorong harga jualan lebih tinggi Image from: Hartalega catat untung bersih RM70 juta bagi 1QFY27, naik 468% didorong harga jualan lebih tinggi amree04/08/2026 - 14:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 OgosHartalega Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2027 dengan lonjakan keuntungan bersih 468% kepada RM70.1 juta bagi suku pertama yang berakhir 30 Jun 2026 (1QFY27).

 

Prestasi itu disumbangkan terutamanya oleh harga jualan purata (ASP) lebih tinggi serta pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan, termasuk kawalan kos dan kecekapan tahap pengeluaran.

 

Pengeluar sarung tangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia melaporkan hasil kumpulan tersebut meningkat 9.5% kepada RM605.8 juta berbanding RM553.1 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Peningkatan ini dipacu oleh ASP lebih tinggi, yang berjaya mengimbangi volum jualan rendah serta kenaikan kos bahan mentah akibat isu konflik di Timur Tengah," maklum Hartalega kepada Bursa Malaysia.

 

Selain itu ujarnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan tersebut meningkat kepada RM90.5 juta daripada RM14.3 juta pada 1QFY26, turut didorong oleh peningkatan pendapatan berkaitan pelaburan.

 

Di samping itu jelasnya, kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang lebih rendah bagi tempoh tersebut turut membantu kumpulan berkenaan mencatatkan pertumbuhan keuntungan secara signifikan.

 

Hartalega_DagangNews2026

 

Bagaimanapun Hartalega kekal berwaspada terhadap persekitaran operasi yang masih mencabar, termasuk  isu lebihan bekalan industri, dan persaingan sengit harga sarung tangan daripada pengeluar di China.

 

"Ketidaktentuan geopolitik yang berterusan disebabkan konflik di Timur Tengah terus memberi tekanan kepada prestasi industri secara keseluruhan terutamanya gangguan bekalan bahan mentah," tambahnya.

 

Keadaan jangka pendek dijangka kekal mencabar, dengan persaingan harga di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS) terus memberi tekanan kepada volum dan margin industri, terutama di Eropah dan Asia.

 

Justeru, bagi mendepani cabaran tersebut, Hartalega komited terus melabur dalam automasi dan menaik taraf teknologi bagi memperkukuh daya saing dan daya tahan operasi untuk jangka masa panjang.

 

Bagi tempoh suku bawah tinjauan, kumpulan itu tidak mengisytiharkan sebarang pengagihan dividen, namun kedudukan aset bersih sesaham syarikat tersebut berada pada paras RM1.30. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved