amree05/05/2026 - 10:00 Gambar kredit TNB Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei — Kenaikan ketara kos arang batu susulan konflik Timur Tengah kini menjadi risiko kritikal kepada industri bahan binaan tempatan, khususnya pengeluar simen, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut menambah, pemain berkenaan berdepan tekanan margin jika kenaikan kos tidak dapat dipindahkan kepada pengguna, berikutan harga arang batu Rotterdam meningkat hingga 18%.
Ujarnya, harga komoditi itu sudah mencecah AS$137 (RM542) satu tan, sejajar dengan kenaikan drastik harga minyak mentah, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos operasi pengeluar simen tempatan.
“Arang batu menyumbang 30% daripada kos keseluruhan syarikat simen, dan jika harga kekal tinggi untuk tempoh yang lama, margin untung akan terjejas,” kata RHB Research dalam nota sektor bahan asas.
Menurut firma berkenaan, konflik di rantau Timur Tengah turut menjejaskan laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz, yang selama ini mengendalikan sebahagian besar penghantaran aluminium global.
Situasi tersebut tambahnya, dikhuatiri mengehadkan pergerakan bahan mentah seperti alumina, sekali gus meningkatkan kos operasi syarikat peleburan domestik dan mewujudkan ketidaktentuan bekalan.
Pada masa sama kata RHB Research, kenaikan harga diesel sehingga 68% juga menambah tekanan walaupun impak kepada syarikat simen adalah terhad kerana hanya menyumbang 2% daripada jumlah kos.
"Kami turut dimaklumkan harga simen domestik meningkat kepada RM24.43 bagi setiap 50 kilogram, naik 6% tahun ke tahun (YoY), namun pengeluar utama belum menaikkan harga jualan purata (ASP)," ujarnya.
Antaranya jelas firma tersebut, Malayan Cement Berhad dilihat mengekalkan ASP, dipercayai sebagai strategi untuk mengembangkan bahagian pasaran dalam persekitaran kos yang semakin mencabar.

Di samping itu, RHB Research melihat pendekatan bertahan itu sebagai usaha syarikat untuk cuba memaksimumkan jumlah jualan, khususnya apabila pemain kecil berdepan tekanan kos yang lebih ketara.
Dalam perkembangan sama, ia berpandangan ketegangan geopolitik memberi limpahan positif kepada sektor aluminium berikutan kekangan bekalan global, dengan harga dilaporkan sudah meningkat 24%.
"Perkembangan ini mencerminkan situasi bekalan yang semakin ketat, dan kami menjangka harga kekal tinggi dalam jangka terdekat jika gangguan perdagangan di Selat Hormuz berterusan," katanya lagi.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor berkenaan, dengan Press Metal Aluminium Holdings Berhad sebagai pilihan utama untuk diberi perhatian oleh pelabur.
Katanya, kelebihan integrasi menegak syarikat itu serta jualan hadapan meliputi kira-kira 65% pengeluaran memberikan kestabilan pendapatan dan perlindungan terhadap ketidaktentuan pasaran.
Jelasnya, meskipun dalam senario terburuk dengan harga minyak melebihi AS$150 (RM594) setong, Press Metal masih berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi tekanan kos dan turun naik permintaan.
"Bagaimanapun, kami mengingatkan terdapat beberapa risiko utama termasuk inflasi kos bahan mentah, potensi kelembapan ekonomi global serta tekanan terhadap harga jualan semasa," tambah RHB Research.
Secara keseluruhan, firma itu menegaskan sektor bahan binaan kekal berdaya tahan, dengan pemain yang ada kecekapan kos dan rantaian bekalan kukuh dijangka mencatat prestasi lebih baik. - DagangNews.com






