TA Securities: Ketidaktentuan pelaburan pusat data dikhuatiri jejaskan aliran buku tempahan EI Power

TechnologyBusiness & Finance
5 May 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities: Ketidaktentuan pelaburan pusat data dikhuatiri jejaskan aliran buku tempahan EI Power Image from: TA Securities: Ketidaktentuan pelaburan pusat data dikhuatiri jejaskan aliran buku tempahan EI Power amree05/05/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Mei — Ketidaktentuan pelaburan pusat data (DC), termasuk penangguhan banyak projek teknologi global, dikhuatiri boleh menjejaskan kesinambungan aliran buku tempahan EI Power Berhad.


Menurut TA Securities, kebergantungan tinggi syarikat tersebut kepada kontrak DC sebagai pemacu utama pendapatan menjadikannya terdedah kepada turun naik kitaran pelaburan dalam sektor tersebut.


Tambah firma penyelidikan itu, cabaran berkenaan antara isu yang perlu diberikan perhatian oleh pelabur menjelang penyenaraian kumpulan kejuruteraan tersebut di Pasaran ACE pada 21 Mei 2026. 


“Sebarang kelembapan perbelanjaan modal (capex) DC memberi kesan langsung kepada buku tempahan dan momentum pertumbuhan,” katanya dalam nota bersempena tawaran awam permulaan (IPO) EI Power.


Syarikat yang memiliki 16 tahun dalam industri dengan 146 projek siap bernilai RM188.2 juta itu, menerbitkan 129.5 juta saham baharu bersama tawaran jualan 70 juta saham pada harga 48 sen sesaham.


Justeru TA Securities menetapkan nilai wajar 50 sen sesaham, yang berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 15 kali bagi unjuran pendapatan 2027, mencerminkan potensi kenaikan sederhana.


EI Power merupakan penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang meliputi rumusan tenaga kritikal, sistem konvensional dan tenaga boleh diperbaharui (RE).


"Kelebihan utamanya adalah kepakaran dalam sistem tenaga DC, termasuk reka bentuk penjana diesel dan sistem bahan api dengan tekanan tinggi bagi memastikan operasi tanpa gangguan," jelasnya.

 

Artikel berkaitan: EI Power sasar kumpul RM78 juta menerusi IPO di Pasaran Ace Bursa Malaysia


Menurut TA Securities, kumpulan berkenaan mempunyai pegangan kukuh dalam pasaran DC di Johor, yang melibatkan kira-kira 30.8% daripadanya beroperasi di negeri itu, dengan sebanyak 66.7% di Kulai.


Permintaan tinggi ke atas EI Power ujar firma penyelidikan tersebut, turut dipacu oleh pelaburan syarikat multinasional serta kelebihan lokasi Johor sebagai hab serantau berhampiran dengan Singapura.


Bagi menyokong pertumbuhan, syarikat merancang memasuki pasaran Thailand, memperkenalkan rumusan kecekapan tenaga bangunan berasaskan model tanpa kos awal, dan membuka dua fasiliti baharu.


"Selain itu, hasil kumpulan berkenaan meningkat kepada sebanyak RM77.4 juta manakala keuntungan melonjak kepada kira-kira RM18.9 juta, didorong banyak projek DC dan solar," kata TA Securities.


Sehubungan itu, ia mengunjurkan keuntungan EI Power mampu berkembang kepada RM26.0 juta menjelang FY28, kerana industri kejuruteraan tenaga di Malaysia dijangka mencecah RM5.6 bilion pada 2027.


Permintaan DC dan RE terus menjadi pemacu utama, namun ia memberi amaran risiko lain termasuk  kebergantungan kepada bekalan peralatan dan sektor tertentu, serta keupayaan menambah lagi projek.


Secara keseluruhan, TA Securities berpandangan syarikat ini ada prospek positif, tetapi pelabur perlu memantau perkembangan pelaburan DC yang menjadi tunjang utama perniagaan. - DagangNews.com

Terkini standard