
KUALA LUMPUR - Bantuan diesel akan diperluaskan susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global, yang menyebabkan lonjakan harga bahan api.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perluasan itu bertujuan meringankan beban rakyat,,selain memastikan aktiviti ekonomi dan pengeluaran makanan kekal stabil di tengah ketidaktentuan berterusan dalam pasaran bahan api antarabangsa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyedari kesan langsung kenaikan kos bahan api terhadap rakyat dan memberi keutamaan kepada bantuan bersasar, khususnya kepada pesawah, pekebun kecil, pengusaha pertanian serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.
“Misi kerajaan MADANI adalah untuk memastikan keselamatan bekalan barangan keperluan rakyat susulan kenaikan mendadak harga minyak serta gangguan rantaian bekalan global.
“Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, termasuk sokongan kepada pengeluar makanan, bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan untuk rakyat,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan di bawah pakej dipertingkat itu bersetuju memperkukuh sokongan kepada pesawah dengan menaikkan Insentif Pengeluaran Padi Kebangsaan (IPPK) bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.
Peningkatan itu katanya, melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah, dengan sebahagian daripada mereka mula memasuki kitaran penanaman bulan ini.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan sebelum ini turut memperkenalkan insentif penuaian sebanyak RM50 sehektar bagi setiap musim tahun lalu bagi membantu menampung peningkatan kos input.
Bantuan tunai di bawah skim BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026, dengan pembayaran dijadualkan pada 21 April 2026.
Kenaikan itu merupakan pelarasan kali kedua bagi kedua-dua skim berkenaan susulan tekanan berterusan akibat krisis bahan api.
Skim BUDI Agri-Komoditi dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, melibatkan tambahan peruntukan bulanan sekitar RM20 juta.
Sementara itu, skim BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia dengan tambahan peruntukan bulanan sekitar RM15 juta.
Kementerian Kewangan dijangka menanggung kira-kira RM7 bilion subsidi bagi April 2026, termasuk tambahan RM75 juta yang diperuntukkan bagi langkah bantuan diesel dipertingkat merangkumi ketiga-tiga inisiatif terbabit.
Dalam usaha lanjut mengurangkan keperluan pentadbiran, kerajaan turut bersetuju memudahkan pembelian diesel bagi kegunaan bukan kenderaan dengan melonggarkan syarat permit khas untuk pembelian melebihi 20 liter.
Pemilik mesin dan peralatan pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had itu dengan mengemukakan dokumen pendaftaran jentera, manakala garis panduan pelaksanaan terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat. - Getaran, 14 April 2026





