Tanpa subsidi diesel, pak tani terhimpit

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tanpa subsidi diesel, pak tani terhimpit
Tekanan kos diesel menjejaskan pesawah dan berpotensi menggugat sekuriti makanan negara. - Foto fail Bernama

TEKANAN kos operasi yang semakin meningkat terus menjadi beban kepada pesawah, khususnya melibatkan penggunaan diesel bagi menggerakkan jentera pertanian.

Dalam keadaan industri padi yang semakin bergantung kepada mekanisasi, isu subsidi diesel bukan lagi perkara kecil, sebaliknya memberi kesan langsung kepada keterjaminan makanan negara.

Keluhan ini bukan sekadar persepsi, malah disuarakan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berhubung kebimbangan golongan itu sekiranya berdepan tekanan kos yang semakin meningkat.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, peningkatan kos diesel boleh menjejaskan keupayaan pesawah, terutama pengusaha kecil untuk terus bertahan dalam industri.

Menurutnya, tanpa sokongan sewajarnya, ada kemungkinan sebahagian pesawah terpaksa mengurangkan operasi atau berhenti daripada mengusahakan sawah padi.

Di lapangan, menurutnya, hampir keseluruhan proses penanaman hari ini bergantung kepada penggunaan diesel.

Daripada kerja membajak menggunakan traktor, proses penanaman hinggalah ke penuaian menggunakan jentera moden, semuanya memerlukan bahan api tersebut.

Ketiadaan subsidi atau bantuan yang mencukupi akan menyebabkan kos operasi meningkat secara mendadak, sekali gus menghakis margin keuntungan pesawah.

Lebih membimbangkan, kesan kenaikan kos ini tidak terhenti di peringkat pesawah sahaja. Ia berpotensi mencetuskan rantaian kesan yang lebih besar termasuk pengurangan hasil pengeluaran padi tempatan.

Dalam jangka panjang, situasi ini boleh mendorong peningkatan harga beras serta meningkatkan kebergantungan negara kepada import makanan, sekali gus menggugat sekuriti makanan negara.

Walaupun usaha kerajaan untuk mengawal ketirisan dan memastikan pengurusan fiskal yang mampan wajar dihargai, pelaksanaannya perlu lebih bersasar agar tidak menjejaskan golongan pengeluar makanan yang menjadi tunjang kepada negara.

Sebagai negeri yang dikenali sebagai Jelapang Padi Negara, Kedah memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan beras mencukupi untuk rakyat.

Justeru, sebarang tekanan terhadap pesawah di negeri ini dikhuatiri memberi implikasi besar kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan negara.

Seperti saranan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang meminta agar kerajaan Persekutuan menyenaraikan jentera pertanian sebagai penerima subsidi diesel.

Jika tidak, menurut Muhammad Sanusi, industri padi akan terjejas teruk dan tidak mampu diusahakan lagi memandangkan kos pengeluaran semakin tinggi.

Dalam usaha negara memperkukuh sekuriti makanan, perhatian tidak boleh hanya tertumpu kepada pengguna semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi kebajikan dan keupayaan pengeluar di peringkat akar umbi.

Tanpa sokongan mencukupi kepada pesawah, matlamat menjamin bekalan makanan yang stabil dan mampan mungkin sukar direalisasikan. Justeru, kerajaan wajar memberi perhatian segera dengan menyenaraikan jentera pertanian, khususnya dalam sektor penanaman padi, sebagai penerima subsidi diesel.

Langkah ini bukan sahaja mampu meringankan beban yang ditanggung pesawah, malah menjadi antara usaha penting dalam memastikan kelangsungan pengeluaran padi sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negara.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Utara.