Kenaikan pangkat perlu adil

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kenaikan pangkat perlu adil

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar proses kenaikan pangkat penjawat awam dipercepatkan merupakan langkah yang tepat pada masanya. 

Penjawat awam ialah tulang belakang pentadbiran negara. Justeru, kebajikan serta kemajuan kerjaya mereka perlu diberi perhatian sewajarnya.

Penjawat awam merupakan golongan yang paling hampir dengan rakyat. Guru, jururawat, anggota keselamatan, pegawai penerangan, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kakitangan kaunter kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan. 

Ketika pandemik, bencana banjir dan pelbagai krisis, mereka terus melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira waktu. Sumbangan tersebut wajar dihargai melalui sistem kenaikan pangkat yang adil, telus dan tidak berlarutan.

Proses yang terlalu lama boleh menjejaskan motivasi, khususnya bagi mereka yang telah berkhidmat bertahun-tahun tetapi masih berada pada gred sama. 

Lebih membimbangkan apabila kekosongan jawatan tidak segera diisi, malah ada kes pegawai yang layak terpaksa menunggu terlalu lama sebelum diberi pertimbangan. Keadaan ini boleh menimbulkan rasa kecewa dan persepsi wujudnya pilih kasih dalam urusan kemajuan kerjaya.

Oleh itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu meneliti semula laluan kerjaya, kekosongan jawatan serta tempoh menunggu bagi setiap skim perkhidmatan. Kriteria pemilihan juga mesti jelas dan terbuka supaya setiap pegawai dinilai berdasarkan prestasi, kelayakan, pengalaman serta sumbangan, bukannya faktor peribadi.

Tindakan mempercepatkan kenaikan pangkat juga tidak seharusnya hanya dilakukan apabila pilihan raya semakin hampir. 

Pembelaan yang ikhlas perlu dilaksanakan ketika kerajaan masih mempunyai mandat untuk berbuat demikian. 

Menunggu sehingga seseorang hampir bersara sebelum dinaikkan pangkat juga boleh menghilangkan makna sebenar penghargaan terhadap khidmat mereka.

Kerajaan yang prihatin ialah kerajaan yang menghargai jenteranya ketika mereka masih berbakti. Hentikan amalan pilih kasih dan pastikan setiap penjawat awam yang layak mendapat peluang kemajuan secara adil dan saksama. –UTUSAN

TOH TAN DEWA SAKTI
Putrajaya

The post Kenaikan pangkat perlu adil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved