Kenanga Research tetap ‘overweight’ terhadap sektor automotif, kekalkan TIV bagi 2023 pada 720,000 unit
diyana
21/08/2023 - 11:05
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kenanga Research tetap ‘overweight’ terhadap sektor automotif dengan mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun penuh 2023 sebanyak 720,000 unit, sepadan dengan tahap rekod yang dicapai tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata jualan kenderaan baharu mengekalkan momentum setelah mencatatkan kenaikan sebanyak 28% tahun ke tahun (YoY) kepada 63,676 unit pada Julai 2023, menjadikan jumlah jualan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 429,807 unit, meningkat 13%.
Menurut firma itu, jualan pada Julai telah didorong oleh pelancaran baharu dan penghantaran tempahan yang tertunggak, justeru TIV setakat ini meletakkannya di landasan bagi mencapai ramalan tahun penuh sebanyak 720,000 unit.
“Kami percaya kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia, walaupun inflasi tinggi dan ekonomi global perlahan.
“Keyakinan kami disokong oleh: (i) keyakinan pengguna yang kukuh berikutan kestabilan ekonomi dan pasaran pekerjaan yang sihat, (ii) harga mampu milik kenderaan bermotor dan (iii) model baharu yang menarik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata tunggakan tempahan industri telah berkurangan kepada 235,000 unit daripada 275,000 unit sebulan yang lalu, tetapi masih cukup ketara untuk memberikan keterlihatan pendapatan kepada syarikat automotif.
Memandang ke hadapan, katanya, TIV pada Ogos 2023 dijangka sejajar dengan Julai disebabkan tahap pengeluaran yang setanding dan promosi jualan Hari Kebangsaan oleh pembuat kereta tertentu.
Pilihan utama firma tersebut bagi sektor ini adalah MBM Resources Bhd (outperform, harga sasaran (TP): RM4.70) dan Bermaz Auto Bhd (outperform, TP: RM3.10), di mana masing-masing mempunyai hasil dividen yang menarik pada kira-kira 7% dan 8%.
Menurut Kenanga Research, MBM Resources mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh tempahan tertunggak kenderaan Perodua sebanyak 170,000 unit (hampir separuh daripada sasaran jualannya bagi tahun ini sebanyak 314,000 unit.
“MBM Resources menjadi proksi yang baik kepada pasaran besar jenama Perodua memandangkan ia adalah pengedar kenderaan Perodua terbesar di Malaysia, serta memiliki 22.58% kepentingan dalam pengeluarnya, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd,” tambahnya.
Sementara itu, pendapatan Bermaz Auto, katanya, disokong oleh pesanan tertunggak sebanyak 4,500 unit untuk kenderaan Mazda, Kia dan Peugeot.
“Pasaran pertengahan jenama Mazda yang premium menawarkan produk yang menarik kepada kumpulan berpendapatan sederhana dan mempunyai margin lebih tinggi daripada jenama lain dalam segmen yang sama,” jelasnya. - DagangNews.com

