Kenanga Research jangka pertumbuhan pendapatan Sunway REIT kekal bagi baki 2023
azan
18/08/2023 - 11:08
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sunway Real Estate Invetment Trust (REIT) dijangka mengekalkan aliran pendapatannya sepanjang baki tahun ini apabila operasi perniagaannya kembali hampir kepada tahap sebelum penularan wabak COVID-19.
Kenanga Research berkata, pendapatan hadapan Sunway REIT akan terus disokong oleh segmen runcitnya yang merancang untuk memperoleh enam pasar raya besar selain mengembangkan Sunway Carnival Mall, dengan sasaran siap antara awal 2024 dan akhir 2025.
Katanya, terdapat juga rancangan untuk menetapkan semula kawasan penyewa utama Sunway Pyramid dengan kedai khusus yang akan menghasilkan kadar penyewaan yang lebih positif berbanding sebelum ini.
"Dalam segmen hotel, kadar penghunian dijangka terus meningkat pada 2HFY23, didorong oleh pertumbuhan dalam aktiviti riadah domestik, korporat dan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) dengan pemulihan beransur-ansur dalam ketibaan pelancong antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen pejabat boleh disokong melalui inisiatif peningkatan aset, memanfaatkan trend kerjasama untuk meningkatkan fleksibiliti dan transformasi bangunan pejabat untuk menarik kepada pangkalan penyewa yang lebih luas.
Pada separuh pertama 2023, keuntungan bersih teras Sunway REIT sebanyak RM158.8 juta mencapai jangkaan masing-masing pada 50% dan 47% daripada anggaran firma itu dan pasaran setahun penuh.
"Selepas melihat keputusan itu, unjuran pendapatan FY23/FY24 kami sebahagian besarnya tidak berubah.
"Kami mengekalkan saranan "outperform" dan harga sasaran (TP) RM1.93 sesaham," katanya. - DagangNews.com



