
DUNGUN – Operasi mencari dan menyelamat nelayan, Sabrie Rusli, 32, yang dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca dinaikinya terbalik dipukul ombak, kelmarin diperluaskan hingga 324.84 kilometer sekitar perairan Pulau Tenggol, dekat sini.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian yang memasuki hari ketiga hari ini melibatkan 70 anggota pelbagai agensi dengan dibantu komuniti nelayan.
“Operasi hari ini melibatkan bot Perkasa 49 dan Kapal Maritim Jujur dari Maritim Malaysia serta empat buah bot milik Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Laut.
“Pihak polis turut menggunakan dron dalam pencarian mangsa,” katanya di sini hari ini.
Abdul Halim berharap operasi pencarian dipermudahkan dengan cuaca agak baik dan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak mencapai semeter.
Kosmo! Online semalam melaporkan Sabrie dikhuatiri hilang selepas bot fiber dinaikinya dipercayai terbalik sewaktu dia keluar menangkap ikan di perairan Pulau Tenggol, di sini, pada Khamis lalu.
Bapa kepada tiga anak itu sempat menghubungi isterinya, Amira Syahida Mat Hassan, 30, untuk meminta bantuan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam laut. – KOSMO! ONLINE
The post Operasi cari nelayan hilang diperluas appeared first on Kosmo Digital.





