
DUNGUN – Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas bot fiber yang dinaikinya dipercayai terbalik ketika keluar menangkap ikan di perairan Pulau Tenggol, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, Sabrie Rusli, 32, dipercayai terjatuh ke dalam laut dan belum dijumpai setakat tengah hari hari ini.
Komander Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebaik menerima maklumat daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan pada pukul 6.25 petang.
“Pencarian digerakkan, namun mangsa tidak ditemui. Sehubungan itu, operasi SAR hari ini diperluas sehingga 58.6 batu nautika persegi (108.53 kilometer) di sekitar perairan Pulau Tenggol,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kali terakhir, Sabrie dilihat memakai baju T berlengan panjang warna kelabu putih.
Beliau berkata, pencarian nelayan itu menggunakan aset bot Perkasa 49 dan Kapal Maritim (KM) Jujur serta pesawat CL415.
“Komuniti nelayan yang menjumpai sebarang objek berkaitan mangsa diminta melaporkan segera kepada pasukan penyelamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nelayan hilang, bot terbalik di perairan Pulau Tenggol appeared first on Kosmo Digital.





