Kenapa hasil siasatan mafia korporat pada Februari masih belum didedahkan, soal Syed Saddiq

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 4:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenapa hasil siasatan mafia korporat pada Februari masih belum didedahkan, soal Syed Saddiq Image from: Kenapa hasil siasatan mafia korporat pada Februari masih belum didedahkan, soal Syed Saddiq hamden02/11/2026 - 16:28 Kredit gambar/ BERNAMA Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mempersoalkan mengapa hasil siasatan berhubung dakwaan kegiatan mafia korporat yang diumumkan pada Februari masih belum didedahkan kepada umum.

 

Wakil Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai skop dan terma rujukan siasatan, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu sekali lagi memperbaharui komitmen untuk menjalankan siasatan secara telus dan bebas yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

 

Menurutnya, janji serupa turut dibuat pada Februari susulan pendedahan berhubung skandal saham yang kemudiannya berkembang menjadi isu mafia korporat.

 

"Sehingga hari ini, hasil siasatan itu masih belum didedahkan kepada umum. Jika diteliti, badan penyiasat yang diumumkan pada Februari juga diketuai Peguam Negara, sama seperti badan yang diumumkan minggu lalu.

 

"Apa perbezaan dari segi skop atau terma rujukan antara badan penyiasat yang ditubuhkan pada Februari dengan yang ditubuhkan semula pada Oktober?

 

"Apakah hasil siasatan awal pada Februari? Perkara ini penting supaya kita dapat memahami apa yang berlaku dan mengambil tindakan susulan menerusi perubahan dasar.

 

"Muar tidak berminat untuk membalas dendam, sebaliknya mahu mengetahui bagaimana kesilapan lalu dapat dicegah daripada berulang, termasuk apabila ia membabitkan musuh politik paling tegar kita, menerusi perubahan dasar," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Selasa lalu, Anwar memberi jaminan di Parlimen bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan mafia korporat.

 

Perdana Menteri turut berkata laporan penuh hasil siasatan akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan, manakala satu pasukan petugas khas yang diketuai Peguam Negara telah ditubuhkan bagi menyelaraskan siasatan berkenaan.

 

Sementara itu Syed Saddiq turut membangkitkan isu mafia politik yang disifatkannya jarang dibincangkan secara terbuka, namun kewujudannya tidak dapat dinafikan.

 

Beliau mendakwa intimidasi politik telah berlaku selama beberapa dekad, khususnya membabitkan pesaing politik setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, tanpa mengira siapa yang memegang jawatan Perdana Menteri.

 

"Apabila kerajaan bertukar, fail lama yang mengandungi dakwaan kesalahan dihidupkan semula, walaupun kes berkenaan berlaku 10 hingga 20 tahun lalu, bagi memastikan sokongan politik kekal kukuh.

 

"Tanpa siasatan yang telus, kebimbangan saya ialah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri, mafia korporat dan politik akan terus beroperasi, manakala budaya intimidasi politik akan berterusan tanpa mengira siapa yang memimpin negara," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved