Tubuh RCI siasat dakwaan mafia korporat - Hassan Karim

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 7:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tubuh RCI siasat dakwaan mafia korporat - Hassan Karim
Hassan

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian mafia korporat termasuk kemungkinan penglibatan agensi penguat kuasa.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, penubuhan RCI penting bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dapat dijalankan secara menyeluruh, telus dan bebas.

Mafia korporat: Victor Chin perlu segera tampil 'selamatkan' Rafizi - SWN

"Bagi saya, pengakuan Menteri Dalam Negeri di Parlimen itu mengesahkan wujudnya gejala mafia korporat di negara ini. Justeru, saya menyeru kerajaan, Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara ini.

"Seperti penubuhan RCI bagi menyiasat isu Tabung Haji sebelum ini yang berjaya menjalankan siasatan, pendekatan sama wajar dilaksanakan untuk menyiasat gejala mafia korporat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409.21 juta menerusi Op Viking susulan laporan Bloomberg berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu membabitkan 404 akaun bank bernilai kira-kira RM85.62 juta, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham berjumlah RM323.59 juta.

Siasatan dijalankan susulan laporan Bloomberg pada 12 Februari 2026 yang mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa agensi penguat kuasa bagi menekan ahli perniagaan supaya menjual saham syarikat pada harga rendah untuk tujuan penguasaan syarikat.

Hassan memberitahu, laporan Bloomberg turut menyenaraikan beberapa nama termasuk individu korporat yang dikaitkan dengan rangkaian mafia berkenaan serta tokoh korporat yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan pucuk pimpinan negara.

Beliau berkata, laporan media asing itu turut mendedahkan taktik tekanan terhadap pemilik saham supaya menyerahkan ekuiti mereka pada harga lebih rendah bagi menyelesaikan siasatan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengesahkan sama ada rangkaian korporat berkenaan benar-benar wujud, selain membersihkan nama dan memulihkan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikaitkan dalam Bloomberg.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved