Pejuang bakal letak tiga calon untuk PRN Sabah 

LocalPolitics
13 Oct 2025 • 9:51 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan meletakkan tiga calon pada pilihan raya Sabah akan datang bagi memperkukuh kehadiran parti itu di negeri ini.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keputusan itu dibuat selepas menilai potensi kawasan serta sokongan masyarakat setempat terhadap perjuangan parti yang berteraskan integriti dan maruah bangsa.

“Kita melihat ada keperluan untuk suara Pejuang di Sabah terutamanya bagi memperjuang dasar yang adil serta mengembalikan fokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mukriz berkata semua bakal calon adalah individu tempatan yang berpotensi besar, dikenali oleh akar umbi serta memiliki latar belakang positif.

“Penting untuk bakal calon parti datang dari kalangan anak tempatan yang mampu membawa aspirasi rakyat Sabah ke peringkat nasional,” katanya.

Katanya status Pejuang sebagai sebuah parti baharu tidak menjadi penghalang untuk menjadi suara dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Walaupun masih baharu di Sabah, parti yakin mesej perjuangan yang berlandaskan amanah, integriti dan keadilan sosial akan mendapat tempat di hati pengundi.

“Kita tidak mahu politik lama yang penuh dengan janji kosong dan sogokan. Kita mahu politik yang bersih, ikhlas dan memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.

Mukhriz juga berkata Pejuang terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai nilai perjuangan sama, namun menolak sebarang bentuk pakatan yang boleh menjejaskan prinsip parti.

Katanya Pejuang kini dalam fasa akhir rundingan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Kita sudah mula berunding dan hampir ke penghujung yang mana kita akan muktamatkan calon-calon kita sebelum hari penamaan calon.

“Kita bercadang untuk meletakkan calon di Pantai Manis, Kawang dan Tamparuli,” katanya.