
Kota Kinabalu: Parti Warisan menolak sebarang pakatan pilihan raya atau kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Star dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang baru-baru ini keluar daripada gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu akan mengekalkan pendirian untuk bergerak secara bersendirian.
“Itu hak parti lain untuk membentuk pakatan atau bergerak sendiri tetapi Warisan akan fokus memperjuangkan kepentingan Sabah secara bebas.
“Kita berhasrat membentuk kerajaan negeri baharu dengan memperoleh majoriti dua pertiga supaya kita dapat membangunkan Sabah dan memenuhi keperluan rakyat khususnya dalam isu bekalan air dan elektrik serta terus memperjuangkan hak dan kepentingan negeri serta rakyatnya,” katanya.
“Dari segi nasional saya menyokong kerajaan Persekutuan. Tetapi di peringkat negeri, saya berjuang untuk hak Sabah, MA63 dan semua hak yang menjadi milik kita.
“Apabila saya lihat sekarang mereka kata mahu Sabah, Sabah, Sabah. Mereka sudah berada dalam kerajaan selama lima tahun. Bila mereka berpecah, (mereka kata) tiada keadilan. Keadilan itu ikut tafsiran mereka, bukan berdasarkan prinsip.”Star dan SAPP mengumumkan keluar daripada GRS minggu lalu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dengan alasan mahu meneroka hala tuju baharu yang berfokus kepada kerjasama politik tempatan serta membina gerakan baharu berasaskan Sabah menjelang pilihan raya.
Shafie berkata Warisan berhasrat untuk bekerjasama secara langsung dengan rakyat dan tidak mahu terlibat dalam percaturan politik antara parti-parti tempatan lain.
“Kita sudah putuskan, kita sudah umumkan, kita akan bekerjasama dengan rakyat Sabah – bukan dengan mana-mana parti. Bukan Star, bukan GRS, bukan mana-mana gabungan yang akan menentukan kerajaan. Rakyat Sabah yang akan menentukannya,” katanya.
Beliau mempersoalkan kejelasan hala tuju dalam kalangan parti-parti tempatan lain, sambil berkata pembentukan lebih banyak pakatan hanya berisiko memecahbelahkan rakyat Sabah.
Shafie turut menolak spekulasi bahawa Warisan mungkin membentuk pakatan dengan parti lain dengan menegaskan bahawa majlis tertinggi parti itu sudah dua kali memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi di bawah panji sendiri.
Beliau menegaskan sejarah telah membuktikan bahawa parti yang bergerak solo juga mampu mentadbir dengan berkesan, dengan memberi contoh pentadbiran lalu seperti Usno dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang masing-masing memerintah Sabah selama sedekad tanpa rakan gabungan.
“Rakyat Sabah yang akan menentukan siapa yang mentadbir, bukan parti,” katanya sambil menambah, politik gabungan sering membawa kepada perebutan jawatan berbanding penyelesaian masalah sebenar.
“Mereka bertengkar tentang siapa jadi Ketua Menteri atau Menteri Kewangan. Tapi kami mahu berjuang untuk air, pekerjaan dan makanan,” tambahnya.
Shafie berkata Warisan akan mengumumkan misi dan visinya untuk pembangunan Sabah sebaik senarai calon dimuktamadkan termasuk strategi bagi memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi negeri seperti gas, minyak dan tanah demi kesejahteraan rakyatnya.
