
KUALA LUMPUR: Kekeliruan yang berlaku dalam isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya diselesaikan lebih awal menerusi komunikasi antara Jabatan Peguam Negara dengan mahkamah.
AhlI Parlimen Kota Bahru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu menyebabkan kelewatan empat hari memindahkan Najib ke kediamannya, sekali gus mendakwa pencerobohan terhadap hak kebebasan individu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Jika berlaku kekeliruan, mengapa tak hubungi pihak mahkamah pada hari sama (6 November)?
“Berdasarkan pengalaman kami sebagai peguam, kami boleh menghubungi pegawai mahkamah melalui telefon. Apatah lagi Peguam Negara atau pegawainya sendiri yang boleh berbuat demikian.
“Mengapa mengambil masa empat hari untuk menyelesaikan perkara ini dalam jabatan yang sama?’ katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata, beliau bukan ingin mempertahankan Najib, tetapi lebih kepada membela hak sebagai warganegara.
“Tidak mustahil banduan lain turut berdepan situasi dialami Najib. Tambahan, perintah adendum sebelum ini disembunyikan lebih setahun oleh Peguam Negara, tetapi nota ‘discharge’ ini pula mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.
“Ini mungkin ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Jika tiada PRN Melaka, mungkin perkara ini tidak berlaku. Jadi, ini senjata makan tuan,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Kenapa tidak selesaikan kekeliruan tahanan rumah pada hari sama? appeared first on Utusan Malaysia.






