Kenderaan BMW diguna PM aset sedia ada kerajaan - JPM

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 10:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenderaan BMW diguna PM aset sedia ada kerajaan - JPM
Anwar. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kenderaan jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan aset sedia ada milik kerajaan dan bukannya kenderaan rasmi baharu.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan di Facebook pada Isnin memaklumkan kenderaan itu merupakan aset di bawah seliaan BIUPA yang dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara.

Menurut kenyataan itu, aset berkenaan disediakan bagi memenuhi keperluan protokol dan standard keselamatan antarabangsa sepanjang lawatan rasmi ketua negara serta ketua kerajaan bertaraf presiden atau perdana menteri ke Malaysia.

"Bagi tujuan itu, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka khas bagi menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.

"Penggunaan kenderaan itu oleh Perdana Menteri adalah bersifat sementara atas nasihat serta penilaian keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut hantaran itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pertukaran sementara berkenaan dibuat kerana kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani proses penyelenggaraan berkala.

Penjelasan itu dibuat bagi menafikan dakwaan serta spekulasi yang tular di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan berkenaan yang digunakan Perdana Menteri. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved