Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyemak semula Perintah Pelepasan Datuk Seri Najib Razak berhubung pelaksanaan tahanan rumah bagi baki hukuman penjaranya dalam kes SRC International.

Foto: Buletin TV3
Memetik laporan Berita Harian, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan permohonan itu difailkan hari ini. AGC meminta mahkamah meneliti semula perintah bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya.
Permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin di Mahkamah Tinggi Jenayah 5, Kuala Lumpur, pada jam 2.30 petang.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah asal pada 6 November selepas UMNO menjelaskan denda RM50 juta bagi pihak bekas perdana menteri itu. Perintah tersebut mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta dari penjara untuk menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pada hari sama, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan tentang tafsiran pengampunan bersyarat dan kesan perintah mahkamah. Najib kembali ke Penjara Kajang petang itu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
Sumber: Berita Harian (Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil)

![[VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini?](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-4.38.34-PM-1024x652.jpeg)




