Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 6:44 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta

Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah.

KUALA LUMPUR: Anthony Loke hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, yang berkuat kuasa serta-merta.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata peletakan jawatan itu selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lepas.

“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.

Loke juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang menerajui kementerian berkenaan.

Menurut kenyataan itu, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar serta segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved