Misi Artemis IV yang akan mengembalikan manusia ke permukaan bulan ditangguh ke 2028 beberapa minggu lalu. NASA ingin melalukan ujian kapal angkasa yang akan digunakan di orbit bumi rendah terlebih dahulu sebelum misi ke bulan dilakukan.
Tetapi Misi Artemis kini berhadapan dengan isu lebih serius selepas laporan Pejabat Ketua NASA mendapati program pendarat bulan menghadapi kelewatan, masalah teknikal, dan risiko keselamatan kru yang belum diselesaikan.

Tumpuan diberikan kepada kenderaan pendaratan SpaceX Starship Human Landing System (HLS) dan Blue Origin Blue Moon Mark 2 yang akan digunakan. Jika kedua-dua kenderaan ini mengalami kegagalan besar, NASA tidak mempunyai kemampuan menyelamat untuk membawa pulang angkasawan dari permukaan bulan atau orbit bulan. Selain itu jika HLS gagal berfungsi atau gagal berlabuh dengan Orion/Gateway pula, kru berisiko hilang.
Laporan turut menyentuh kedua-dua kenderaan tidak mempunyai sistem kawalan manual untuk krew mengambil alih dalam situasi kecemasan. SpaceX dan NASA tidak sependapat tentang keperluan kawalan manual untuk Starship HLS walaupun ia sebahagian keperluan NASA. Sistem sama untuk Blue Origin pula masih tidak jelas.
Semasa Misi Apollo lebih lima dekad lalu, pendaratan Modul Lunar Apollo dikawal oleh krew apabila ia berada pada ketinggian 500-2000 meter daripada permukaan bulan. Misi Artemis membuktikan untuk kembali ke bulan bukanlah perkara mudah walaupun telahpun dilakukan sebelum ini.
