
SEREMBAN – Kes saman fitnah melibatkan aktivis politik, Chegubard dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berjaya diselesaikan melalui proses mediasi.
Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, kedua-dua plaintif bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah hari ini.
Saman fitnah berkenaan difailkan SKMM dan pengerusinya di Mahkamah Tinggi Seremban pada 14 Mei 2025 membabitkan hantaran Chegubard di akaun Facebook miliknya.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard berkata, pihak plaintif dan Chegubard selaku defendan bersetuju untuk mencari penyelesaian melalui sesi mediasi yang dijalankan pada hari ini.
“Sebenarnya perbicaraan kes ini sudah ditetapkan selama empat hari iaitu dari 10 hingga 13 Ogos depan di Mahkamah Tinggi Seremban.
“Bagaimanapun, kedua-dua pihak diarahkan untuk ke Pusat Mediasi untuk melihat sama ada pihak-pihak boleh cari titik pertemuan dan titik penyelesaian. Alhamdulillah hari ini, pihak-pihak bersetuju,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Seremban, di sini hari ini.
Saman fitnah itu berhubung hantaran Facebook Chegubard berbunyi ‘Salim Fateh Din merupakan Pengerusi MCMC. Kita tahu bagaimana MCMC menjadi keldai kepada kepada rejim dan dalam masa sama isu penipuan, judi dan pelacuran dalam talian berleluasa kelihatan bebas dibiarkan. MCMC jadi keldai alat politik regim’.
Muhammad Rafique berkata, terma persetujuan akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 10 Ogos depan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.- KOSMO! ONLINE
The post Kes saman fitnah Chegubard dengan MCMC dan Pengerusi selesai luar mahkamah appeared first on Kosmo Digital.






