Isu GISBH: Mufti Perlis menang saman fitnah! Pemilik FB diarah bayar RM250,000

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 7:34 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berjaya memperoleh ganti rugi sebanyak RM250,000 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan beliau menang sebahagian daripada saman fitnah terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang mengaitkannya dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Satu daripada empat kenyataan ada elemen fitnah

Memetik laporan daripada Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rihaida Rafie membenarkan sebahagian saman yang difailkan Mohd Asri, 55, terhadap Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, selepas mendapati hanya satu daripada empat pernyataan yang diterbitkan defendan memenuhi elemen fitnah.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan fitnah pertama memenuhi elemen-elemen fitnah. Setelah mahkamah mendapati pernyataan fitnah pertama tersebut memenuhi elemen fitnah, mahkamah seterusnya meneliti pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan.
“Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan,” katanya.

Image from: Isu GISBH: Mufti Perlis menang saman fitnah! Pemilik FB diarah bayar RM250,000

Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan Mohd Nawawi membayar ganti rugi global sebanyak RM250,000 berserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Defendan turut diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada Mohd Asri.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif supaya defendan membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebook miliknya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Defendan juga diarahkan memadam kenyataan fitnah yang dimuat naik serta dihalang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap Mohd Asri melalui akaun media sosial yang sama.

Image from: Isu GISBH: Mufti Perlis menang saman fitnah! Pemilik FB diarah bayar RM250,000

Prosiding berkenaan dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili Mohd Asri, manakala Mohd Nawawi diwakili peguam Mohd Tajudin Abd Razak.

Untuk rekod, Mohd Asri memfailkan saman tersebut pada 10 Oktober 2024 selepas mendakwa defendan menerbitkan empat kenyataan fitnah di Facebook pada 20 September 2024 yang boleh diakses orang ramai.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi gambaran bahawa dirinya merupakan pemimpin atau penyokong GISBH, mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan berkenaan serta membenarkan amalan khurafat kerana menerima ganjaran daripada GISBH.

Walau bagaimanapun, Mohd Nawawi dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 November 2024 menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkan tuntutan saman berkenaan sebagai melampau, berlebihan serta direka untuk meraih simpati mahkamah.

Sumber: Bernama
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved