KUALA LUMPUR – Aktivis, Zamri Vinoth tidak pernah melarikan diri seperti didakwa sebelum ini, sebaliknya berada dalam negara dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Peguamnya, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada mahkamah ketika prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurutnya, rekod pasport menunjukkan anak guamnya telah memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu.
"Perkara pertama yang ingin kami nyatakan kepada masyarakat ialah anak guam kami, Mohd Zamri Vinoth tidak melarikan diri.
"Perkara yang sama telah kami maklumkan kepada mahkamah dalam prosiding tadi bahawa anak guam kami tidak melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas prosiding selesai.
Beliau berkata, kenyataan media yang mendakwa anak guamnya melarikan diri adalah tidak tepat.
"Kenyataan media Ketua Polis Negara adalah tidak tepat kerana mengikut rekod pasport, anak guam kami telah masuk semula ke Malaysia pada 12 Mac 2026.
"Siaran media yang menyatakan beliau melarikan diri pula bertarikh 13 Mac 2026 pada jam 11 malam,” katanya.
Menurutnya, kehadiran Zamri ke mahkamah pada Selasa juga membuktikan beliau tidak cuba mengelak daripada proses perundangan.
"Anak guam kami tidak pernah melarikan diri ke mana-mana.
"Beliau berada dalam negara dan hari ini membuktikan beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan pihak pendakwa raya serta bersedia untuk menghadapi pertuduhan secara adil,” katanya.
**media[3465910]**
Terdahulu, Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.
