Kepelbagaian Busana, Budaya Etnik Pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024

28 Aug 2024 • 12:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Busana, budaya dan tarian tradisional pelbagai etnik di negara ini akan diperagakan Kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024, 31 Ogos ini.


Ketua penyelaras kontinjen berkenaan Khairulizam Othman berkata busana tradisional ini digayakan 800 peserta, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan busana itu yang lengkap dengan aksesorinya.

Lebih menarik, beliau berkata perarakan kontinjen itu juga akan mempamerkan persembahan tradisi termasuk yang semakin jarang dipertontonkan seperti persembahan jidur dan tetuang selain kompang, tarian naga dan singa, Chinggay, pergendangan Urumi dan Baghra serta Tarian Merak.

"Perarakan kontinjen kami bermula dengan pertunjukan pergendangan dan busana Melayu, diikuti dengan perarakan dan persembahan kaum Cina dan India bersama etnik di Semenanjung disusuli perarakan etnik Sabah dan Sarawak.


"Kontinjen kami juga akan memperagakan 10 ekor kuda pahlawan suku Bajau," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan hari pertama sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya pada Selasa.


Kharulizam berkata orang ramai dialu-alukan untuk bergambar dengan peserta kontinjen di titik tamat laluan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 iaitu di Dataran Masjid Putra.

 

"Jarang-jarang rakyat Malaysia dapat melihat secara langsung pakaian tradisional lengkap pelbagai etnik yang mungkin sukar ditemukan pada hari biasa. Ini boleh menjadi pengalaman istimewa kepada pengunjung.

"Lebih-lebih lagi busana dan budaya suku Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak, Siam serta Baba Nyonya. Ini juga boleh menjadi lambang perpaduan pelbagai kaum di Malaysia," ujarnya.


Sumber: Astro AWANI 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved