Kepelbagaian portfolio hartanah Sunway REIT dijangka pacu pertumbuhan pendapatan – RHB Investment

Business & FinanceProperty
6 Nov 2023 • 12:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kepelbagaian portfolio hartanah Sunway REIT dijangka pacu pertumbuhan pendapatan – RHB Investment

diyana

06/11/2023 - 12:52

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kepelbagaian portfolio hartanah Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) dijangka memacu pertumbuhan pendapatan, terutamanya disebabkan hartanah runcitnya berdaya tahan dan pemulihan aset hospitaliti, kata RHB Investment.

Walaupun pendapatan jangka pendek akan dipengaruhi oleh penambahbaikan aset yang berterusan dan penangguhan pengambilalihan enam pasar raya besar, firma penyelidikan itu percaya prospek jangka panjang REIT tersebut kekal kukuh.

Ini adalah berikutan sasarannya untuk meningkatkan nilai aset kepada RM14 bilion menjelang 2027, yang kini bernilai RM8.7 bilion.

Menurut RHB Investment, pusat beli-belah Sunway Pyramid sedang mengubahsuai ruang yang diduduki oleh Aeon sebelum ini, yang dijangka siap pada suku keempat 2024 dan akan menempatkan penyewa utama baharu, Jaya Grocer.

Sementara itu, pusat beli-belah Sunway Carnival sedang mengubah suai sayap lama, yang dijangka siap pada suku kedua 2025, selepas sayap baharu dibuka pada Jun 2022.

“Walaupun kadar penghunian berkesan terjejas semasa kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan, kami berpendapat ia akan diimbangi sebahagiannya oleh pengembalian sewa yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

Menurut RHB Investment, tarikh akhir untuk melengkapkan pengambilalihan enam pasar raya bernilai RM520 juta telah dilanjutkan dari akhir September kepada akhir November kerana menunggu kelulusan kawal selia.

Dengan pelupusan Pusat Perubatan Sunway sebanyak RM430m telah siap pada akhir Ogos, firma itu berkata kehilangan pendapatan (kira-kira 4% daripada hasil FY22) akan dirasai sehingga pengambilalihan selesai.

“Namun begitu, FY24 sepatutnya menjadi tahun yang kukuh kerana pasar raya besar mememberikan hasil pendapatan hartanah bersih (NPI) 8% yang tinggi, dan mempunyai pajakan jangka panjang bersih tiga kali ganda dengan kenaikan sewa tetap,” tambahnya.

Oleh itu, firma tersebut meningkatkan anggaran pendapatan FY23-24 sebanyak 2% hingga 5% dan memperkenalkan unjuran bagi FY25 sebanyak RM373 juta.

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.74 seunit daripada RM1.60 sebelumnya.

Pada rehat tengah hari ini, saham Sunway REIT telah menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.52 dengan permodalan pasaran bernilai RM5.2 bilion. - DagangNews.com