Axis REIT dijangka kukuh dalam FY24 disokong peningkatan kadar penghunian – RHB Investment

Business & FinanceProperty
30 Oct 2023 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axis REIT dijangka kukuh dalam FY24 disokong peningkatan kadar penghunian – RHB Investment

diyana

30/10/2023 - 10:16

KUALA LUMPUR 30 Okt - Axis Real Estate Investment Trust (REIT) dijangka kukuh dalam tahun kewangan 2024 (FY24) disokong peningkatan kadar penghunian.

Susulan keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), RHB Investment berkata FY23 mungkin berprestasi rendah disebabkan perbelanjaan lebih tinggi dan kadar penghunian lebih rendah.

Bagaimanapun, katanya, permulaan pajakan dengan SPX Xpress pada Ogos, perjanjian penyewaan baharu dan penyiapan pembangunan utama lain dijangka menjadikan REIT itu lebih kukuh pada FY24.

Menurut firma penyelidikan itu, dengan kenaikan kadar faedah hampir tamat dan tiada peruntukan perlu dibuat, kos mungkin terkawal tahun depan di samping pertumbuhan hasil yang lebih tinggi.

“Penyewaan SPX Xpress di Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 (BRDC2) membawa pendapatan sewa bulanan sebanyak RM1.35 juta, menjadikannya penyewa keempat terbesar REIT tersebut.

Dengan Pusat Pengedaran Shah Alam 3 (SADC3) dihuni sepenuhnya, hanya tinggal 10 hartanah dengan kadar penghunian di bawah 90%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dengan Axis REIT telah mengambil semula pemilikan kosong Axis Steel Center (kira-kira 5% daripada hasil FY22) daripada YongnamEngineering selepas ia gagal membayar sewanya, pihak pengurusan berharap penyewa baharu boleh ditandatangani menjelang tahun depan.

REIT itu telah menangguhkan cadangan pengambilalihan gudang logistik di Kulim bernilai RM92 juta, tetapi menandatangani perjanjian jual beli yang melibatkan kemudahan pembuatan di Sendayan bernilai RM48 juta. Surat tawarannya untuk pasar raya besar di Temerloh bernilai RM25 .8 juta juga diterima.

Mengulas lanjut mengenai prestasi 3QFY23, RHB Investment berkata pendapatan sebanyak RM37.9 juta bagi suku tersebut menjadikan pendapatan sembilan bulan pertama (9M23) berjumlah RM103.9 juta, susut 14.2% tahun ke tahun.

“Ini merangkumi hanya 67% dan 65% daripada unjuran tahun penuh kami dan Street,” tambahnya.

Oleh itu, RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan FY23 sebanyak 8% selepas menyelaraskan kadar penghunian dan andaian kos, sambil mengekalkan keuntungan bersih FY24-25.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM2.04 seunit daripada RM2.08.

Pada pukul 10:11 pagi ini, saham Axis REIT menokok 1 sen atau 0.6% kepada RM1.81 dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.15 bilion. - DagangNews.com