
KUALA LUMPUR: Kepercayaan digital perlu menjadi asas kepada perkembangan ekonomi digital ASEAN bagi memastikan masyarakat yakin menggunakan teknologi, perkhidmatan dalam talian dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah berkata, walaupun rangkaian internet semakin pantas dan perkhidmatan digital berfungsi seperti yang direka, pengguna masih berdepan persoalan mengenai keselamatan, identiti, penipuan dan daya tahan sistem digital.
“Kesalinghubungan membawa kita ke dalam ekonomi digital. Kepercayaan pula akan menentukan sejauh mana kita hidup di dalamnya dengan yakin,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena M360 ASEAN di sini hari ini.
Menurut beliau, ASEAN memahami keperluan itu menerusi Pelan Induk DigitalASEAN 2030 (ASEAN Digital Master Plan 2030) yang menggariskan visi untuk membangunkan ekonomi digital yang selamat, dipercayai, inovatif dan inklusif.
“Apabila lebih ramai rakyat ASEAN menggunakan perkhidmatan dan teknologi digital, tahap kepercayaan terhadap sistem tersebut perlu diperkukuh, terutama ketika data, pembayaran dan perkhidmatan digital merentasi sempadan.
“Dalam rantau yang menyaksikan data, pembayaran dan perkhidmatan digital merentasi sempadan dan apabila sistem AI semakin beroperasi merentasinya, kepercayaan juga perlu merentasi sempadan,” katanya.
Beliau turut menggariskan tiga keutamaan utama iaitu melindungi masyarakat, membolehkan penyertaan serta memperkukuh daya tahan digital.
Katanya, penipuan dalam talian, penyamaran identiti dan fraud kini semakin menguji keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan digital, manakala perkembangan AI menjadikan persoalan mengenai identiti semakin kompleks.
“Peralihan daripada AI yang sekadar menjawab soalan kepada ejen AI yang mampu merancang, bertindak dan melakukan transaksi bagi pihak pengguna turut menimbulkan persoalan baharu mengenai kuasa dan tanggungjawab.
“Bagaimana sistem lain mengetahui identiti sesuatu ejen dan perkara yang dibenarkan untuk dilakukannya? Jika sesuatu berlaku, siapa yang kekal bertanggungjawab?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha penyeragaman antarabangsa perlu menghasilkan kaedah yang praktikal dan boleh beroperasi merentasi pelbagaisistem bagi mengesahkan identiti, mengurus kepercayaan serta memastikan kawalan manusia terus bermakna.
Dalam pada itu, Sulyna berkata, liputan internet semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital.
Katanya, pengguna turut memerlukan kemahiran, keyakinan dan jaminanbahawa perkhidmatan digital yang digunakan akan melayan mereka denganbaik serta menjaga keselamatan mereka.
“Setiap negara, tanpa mengira tahap kesediaan digital, perlu mempunyai suara dalam membentuk sistem AI yang bakal memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat masing-masing.
“Prinsipnya mudah, negara pada setiap tahap kesediaan digital perlu mempunyai suara dalam membentuk sistem AI yang akan mempengaruhi ekonomi dan masyarakat mereka,” katanya. – UTUSAN
The post Kepercayaan digital jadi tunjang ekonomi ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.






