Keperluan atau kehendak?

6 Jan 2024 • 8:00 AM MYT
Nurul Izzah Firzanah
Nurul Izzah Firzanah

Salah seorang mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Image from: Keperluan atau kehendak?
Photo credit: Nurul Izzah Firzanah

Keperluan ialah asas yang paling utama dalam hidup manusia dan merupakan sesuatu yang mesti dipenuhi untuk meneruskan kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makanan merupakan keperluan bagi manusia untuk meneruskan kehidupan, membekalkan tenaga dalam tubuh badan manusia dan mengelakkan daripada kebuluran. Pakaian juga merupakan salah satu keperluan asas yang penting kepada manusia untuk melindungi diri daripada cuaca panas dan cuaca sejuk. Manakala, manusia memerlukan tempat tinggal untuk berlindung daripada ancaman musuh, serangan daripada binatang buas dan keadaan cuaca yang panas dan sejuk.

Kehendak pula ialah keinginan manusia terhadap sesuatu untuk memenuhi kehidupan yang lebih selesa. Sebagai contoh, kehendak manusia terhadap peranti ataupun alat elektonik yang canggih seperti radio dan telefon pintar baru sedangkan telefon pintar yang lama masih boleh digunakan. Hakikatnya, tanpa kedua-dua kehendak ini, manusia masih boleh meneruskan kehidupan. Kehendak manusia tidak hanya tertumpu kepada peranti yang canggih sahaja kerana kehendak manusia merangkumi semua aspek dan tidak terhad. Antara kehendak manusia yang lain ialah barang perhiasan, alat permainan, kereta mewah dan banyak lagi.

Keperluan asas dan kehendak manusia adalah berbeza. Salah satunya ialah keperluan asas adalah sama bagi setiap individu manakala kehendak manusia adalah berbeza antara setiap individu berdasarkan taraf hidup. Tanpa keperluan asas, individu tidak akan dapat meneruskan kehidupan manakala kehendak pula individu tersebut masih dapat meneruskan kehidupan walaupun kehendaknya tidak dapat dipenuhi. Adapun keperluan asas manusia adalah terhad dan ianya mudah dipenuhi dan didapati. Namun, kehendak manusia pula sebaliknya iaitu tidak terhad dan sukar untuk dipenuhi. Keperluan asas juga merupakan tuntutan semulajadi manusia yang mesti dipenuhi untuk terus hidup. Kehendak manusia pula adalah sesuatu yang perlu dipelajari daripada pengalaman seharian dan ia merupakan pelengkap kepada keperluan.

Sebagai contoh mudah yang boleh diambil untuk memberi gambaran yang mudah kepada masyarakat di luar sana sebagai pembeli dan pengguna barangan, keperluan asas ialah produk yang diperlukan di mana jika produk ini tiada, maka manusia akan menghadapi kesusahan seperti rumah untuk berteduh, kereta untuk bergerak dan telefon untuk berkomunikasi. Kehendak manusia pula ialah produk yang meningkatkan kualiti kehidupan manusia dan memenuhi impian setiap individu seperti rumah yang mempunyai kolam, kereta jenama Audi untuk memenuhi keinginan, impian dan minat seseorang serta telefon pintar jenama Iphone 15 yang kita sedia tahu harga pasaran telefon pintar tersebut mencecah ribuan ringgit.

Namun demikian, masyarakat kini lebih mengutamakan kehendak berbanding keperluan asas kerana kesedaran masyarakat masih berada pada tahap yang rendah. Buktinya, masih terdapat segelintir masyarakat yang cenderung menghabiskan wang untuk memenuhi kehendak berbanding keperluan asas mereka akibat berbelanja mengikut nafsu atau dalam bahasa mudahnya, gagal dalam menguruskan kewangan walaupun mereka sedia maklum mengenai harga barangan yang semakin meningkat dan kenaikkannya yang sungguh ketara. Selain itu, tabiat sesetengah masyarakat yang suka berbelanja barangan berjenama dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang disekeliling, menginginkan kemewahan dan kemegahan sehingga melebihi batas kemampuan diri.

Sekiranya perkara ini berterusan dan tidak dibendung dengan bijak, sudah pasti akan memberi impak kepada masyarakat. Salah satu kesan apabila masyarakat mengambil enteng terhadap keperluan asas dan kehendak manusia ialah kesukaran hidup apabila berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat. Hal ini kerana masyarakat mengalami kesukaran dalam mencukupkan pendapatan yang merangkumi makan, minum, pakaian, bayaran ansuran bulanan kereta dan lain-lain. Dalam pada itu, masyarakat juga akan mengalami kesulitan apabila ditimpa musibah seperti cedera parah akibat kemalangan jalan raya kerana tiada dana kecemasan untuk membayar segala perubatan hospital. Jika dilihat dari sudut yang lain, keselamatan juga boleh dikategorikan sebagai keperluan asas untuk melindungi manusia daripada sebarang ancaman, malapetaka dan bahaya yang menimpa diri mereka.

Oleh itu, masyarakat perlu meluruskan prinsip perbelanjaan mereka dengan mengetepikan kehendak dan mengutamakan keperluan asas dalam kehidupan. Hal ini kerana suasana ekonomi pada masa kini yang tidak menentu seperti kenaikan harga beras, bahan mentah, minyak masak dan banyak lagi. Kebanyakan kenaikan harga barangan ialah barangan keperluan asas manusia yang utama iaitu makanan dan minuman. Maka, cadangan yang baik untuk kita sebagai pengguna dan pembeli boleh lakukan adalah dengan merenungi ajaran islam tentang amalan kepenggunaan. Amalan kepenggunaan yang dimaksudkan di sini ialah kaedah perbelanjaan yang baik dapat diwujudkan sekiranya pengguna membelanjakan pendapatan mereka untuk kepuasan yang seimbang antara material dan kerohanian. Dengan cara ini, masyarakat dapat mengurangkan kehendak terhadap kebendaan sekaligus dapat mengelakkan daripada berlakunya pembaziran.

Tuntasnya, konsep berjimat cermat sudah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat dan perlu dingatkan supaya masyarakat tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut dalam perbelanjaan. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlulah berhemah dan tidak mengikut hawa nafsu dalam berbelanja serta bijak dengan mengutamakan keperluan dan mengetepikan kemewahan dan kemegahan dalam apa sahaja urusan jual beli. Hal ini kerana aliran wang tunai pada masa kini lebih mudah untuk mengalir keluar berbanding mengalir masuk. Dalam pada itu, masyarakat juga perlulah sentiasa mengamalkan kehidupan secara bersederhana walau di mana kita berada. Misalnya, menyemak terlebih dahulu barangan yang ada kemudian menyenaraikan barangan yang penting sahaja untuk dibeli dan berbelanja di pusat membeli belah ataupun pasaraya yang menawarkan harga promosi yang rendah. Dengan berbuat demikian, dapat melatih dan menjadikan masyarakat sebagai pengguna yang bijak kerana dalam mengenal pasti konsep keperluan asas dan kehendak manusia, bukan setakat dapat membantu masyarakat dalam menguruskan kos sara hidup malah dapat mengenal pasti peningkatan harga barang, membantu strategi dalam perbelanjaan, meningkatan pendapatan serta menguruskan pendapatan dengan bijak.


Nurul Izzah Firzanah adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.