KEPERTAMA mahu Naib Canselor baharu UPM beri perhatian serius kebajikan staf, peluang kenaikan pangkat

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 10:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KEPERTAMA mahu Naib Canselor baharu UPM beri perhatian serius kebajikan staf, peluang kenaikan pangkat Image from: KEPERTAMA mahu Naib Canselor baharu UPM beri perhatian serius kebajikan staf, peluang kenaikan pangkat johardy23/09/2026 - 10:27 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept - Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA) mahu Naib Canselor UPM yang baharu, Profesor Dr. Arifin Abdu memberi perhatian serius terhadap kebajikan staf, peluang kenaikan pangkat dan persekitaran pekerjaan, selain memperkukuh libat urus dengan kesatuan.

 

Kesatuan itu menggariskan empat perkara utama yang diharapkan dapat diberi tumpuan oleh kepimpinan baharu UPM, bermula dengan usaha memastikan ekosistem pekerjaan yang kondusif, harmoni, selamat dan sejahtera.

 

Turut dibangkitkan ialah penambahbaikan berterusan terhadap kebajikan staf, khususnya membabitkan faedah perubatan, kemudahan pakaian seragam dan peluang kenaikan pangkat.

 

KEPERTAMA juga mahu pembangunan latihan yang komprehensif dan berimpak tinggi diperkukuh bagi meningkatkan kompetensi, produktiviti serta prestasi staf.

 

Perkukuh libat urus dengan pengurusan

Satu lagi perkara yang diketengahkan ialah keperluan memperkasa sesi libat urus antara KEPERTAMA dengan pengurusan universiti dalam isu strategik membabitkan kepentingan dan kebajikan Kumpulan Pegawai Pelaksana UPM.

 

Presidennya, Norsyahriman Md. Arif berkata, sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah, KEPERTAMA akan terus memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif dan berintegriti.


 

Norsyahriman Md. Arif
Norsyahriman Md. Arif

 


“KEPERTAMA berpandangan bahawa tiada isu yang tidak dapat diselesaikan sekiranya wujud hubungan yang erat, saling menghormati serta komunikasi dua hala yang matang dan profesional antara KEPERTAMA dan pihak pengurusan universiti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurutnya, pendekatan musyawarah yang jujur membolehkan setiap isu ditangani secara berhemah demi kepentingan bersama seluruh warga universiti.

 

Kesatuan itu yakin kepimpinan Arifin akan membuka ruang kepada perkara yang dibawa KEPERTAMA untuk dibincangkan menerusi saluran yang sesuai.

 

Pelantikan VC 18 September 2026

Pelantikan Arifin sebagai Naib Canselor UPM berkuat kuasa 18 September 2026 diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

 

KEPERTAMA menyambut baik pelantikan itu dengan mengambil kira pengalaman Arifin dalam hal ehwal universiti, termasuk hampir enam tahun sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM.

 

Kesatuan itu mahu kesinambungan agenda kecemerlangan universiti diteruskan selaras dengan Pelan Strategik UPM 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada empat domain utama.

 

Ia merangkumi pertanian dan keterjaminan makanan, kesihatan planet dan kelestarian, kecemerlangan akademik dan inovasi serta pembangunan masyarakat dan universiti.

 

KEPERTAMA turut merakamkan penghargaan kepada bekas Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah atas kepimpinan, khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang tiga tahun menerajui universiti itu.

 

Kesatuan itu berkata, hubungan erat, komunikasi dua hala dan kerjasama profesional antara pengurusan dengan KEPERTAMA penting dalam menangani isu berkaitan warga kerja serta menyokong agenda UPM pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved