UPM sasar juara keseluruhan SUKIPT 2026

27 Aug 2026 • 10:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPM sasar juara keseluruhan SUKIPT 2026

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung pada 29 Ogos hingga 6 September ini di Universiti Malaya (UM).

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, bagi merealisasikan impian bergelar juara keseluruhan pada kejohanan berkenaan, sasaran 40 pingat emas perlu dicapai oleh atlet UPM.

Beliau berkata, sasaran berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya didasari persiapan rapi, latihan konsisten dan pengorbanan besar yang dilakukan atlet serta pegawai sepanjang tempoh persediaan.

“Sasaran kita pada edisi kali ini amat jelas, iaitu mengembalikan gelaran juara keseluruhan dengan sasaran 40 pingat emas. Saya yakin sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan hasil daripada latihan yang konsisten, pengorbanan yang besar serta semangat juang yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh para atlet dan pegawai sepanjang tempoh persediaan.

“Setiap langkah di gelanggang, setiap kayuhan, setiap larian, setiap pukulan dan setiap mata yang diperoleh adalah lambang keberanian, disiplin dan kecemerlangan warga UPM. Jangan sesekali takut untuk berdepan cabaran,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPM ke SUKIPT 2026, hari ini.

Kontinjen UPM akan menyertai 32 acara sukan, melibatkan antaranya Aerodance, Badminton, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Tampar, Catur, E-Sukan, Golf, Hoki, Karate-Do, Kayak, Lawn Bowls, Memanah, Olahraga, Petanque, Ping Pong, Ragbi 7 Sebelah, Renang, Sepak Takraw, Silat, Skuasy, Sofbol Lelaki, Taekwondo, Tenis, Menembak, Pickleball, Tenpin Boling, Bola Baling serta beberapa acara lain.

Image from: UPM sasar juara keseluruhan SUKIPT 2026
PASUKAN Bola Baling wanita UPM yang akan menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Selain itu, Ahmad Farhan berkata, setiap atlet yang membawa cabaran UPM perlu menyedari tanggungjawab mereka bukan sekadar mewakili pasukan atau fakulti, sebaliknya membawa nama dan maruah seluruh warga universiti.

Menurut beliau, atlet tidak boleh turun bertanding dengan perasaan takut untuk kalah, sebaliknya perlu beraksi dengan keinginan tinggi untuk menang secara bermaruah dan memberikan segala-galanya sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Bertandinglah dengan penuh keyakinan, berikan yang terbaik sehingga ke saat terakhir dan jangan pernah mengalah. Saya mahu semua atlet pulang dengan penuh kebanggaan kerana telah memberikan komitmen terbaik kepada UPM,” katanya.

Image from: UPM sasar juara keseluruhan SUKIPT 2026
PENEMBAK negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz mengetuai bacaan ikrar atlet UPM yang menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Beliau turut berharap SUKIPT 2026 menjadi platform buat atlet UPM membuktikan kemampuan serta menggunakan kejohanan itu sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya sukan, termasuk mewakili negara pada Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kontinjen supaya terus menjaga disiplin, semangat kesukanan dan imej universiti kerana kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya diukur menerusi jumlah pingat, malah semangat berpasukan serta nilai murni yang dipamerkan sepanjang kejohanan.- UTUSAN

The post UPM sasar juara keseluruhan SUKIPT 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved