
MARANG – Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu hampir lumpuh apabila sekurang-kurangnya tiga kepimpinan utamanya termasuk Ketuanya, Datuk Razali Idris meletakkan jawatan.
Selain Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu iaitu Mohd. Zawawi Ismail (Telemong) dan Mohd. Husaimi Hussin (Hulu Besut) turut meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari badan pimpinan negeri.
Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu negeri, Khazan Che Mat yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu juga membayangkan akan mengikut jejak tiga pemimpin terbabit dalam masa terdekat.
Razali mengesahkan beliau telah mengumumkan secara rasmi peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri dalam mesyuarat yang diadakan semalam.
“Saya sebenarnya telah menghantar surat peletakan jawatan (Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu) kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertengahan bulan lalu.
“Selain itu, saya juga membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Marang pada pertengahan bulan depan,” katanya di sini hari ini.
Razali bagaimanapun enggan mengulas lanjut alasan pengundurannya namun bertegas tetap setia terhadap Bersatu yang turut sama diasasnya pada tahun 2016.
ADUN Kijal tersebut berkata, beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu kekal sebagai ahli biasa parti tersebut.
“Saya juga akan meneruskan tugas sebagai Exco kerajaan negeri Terebgganu selagi diperlukan (kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar),” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kepimpinan Bersatu Terengganu letak jawatan beramai-ramai appeared first on Kosmo Digital.






