
PETALING JAYA: Adun Kijal, Razali Idris mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua Bersatu Terengganu, yang turut disertai dua lagi pemimpin negeri itu.
Exco Terengganu itu menghantar surat peletakan jawatannya kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu, tetapi tidak menyatakan punca beliau melepaskan jawatan dipegangnya sejak 10 tahun lalu.
“Setakat ini, pihak ibu pejabat parti, termasuk Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan untuk menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya menurut Berita harian selepas menghadiri sebuah program di Kampung Lubuk Batu, Marang, malam tadi.
Razali berkata, beliau akan melepaskan jawatan ketua Bersatu Marang pada pertengahan bulan depan selepas menyelesaikan pelbagai tugas parti di peringkat bahagian.
Tegasnya, beliau masih ahli Bersatu selepas melepaskan dua jawatan di peringkat bahagian dan negeri.
Pada masa sama, Adun Telemong, Zawawi Ismail dan Adun Hulu Besut, Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua penerangan serta bendahari Bersatu Terengganu.
Difahamkan, Timbalan Ketua Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat juga melepaskan jawatannya.
“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali, jika dia letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan,” katanya yang juga ketua Bersatu Kuala Nerus dan timbalan yang dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.






