Razali undur, Bersatu Terengganu dilanda krisis kepemimpinan

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 9:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Razali undur, Bersatu Terengganu dilanda krisis kepemimpinan

MARANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berdepan krisis kepemimpinan apabila Ketua Badan Pimpinan negeri, Datuk Razali Idris mengumumkan meletak jawatan yang diikuti dua lagi pemimpin kanan parti berkenaan.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu namun sehingga kini belum menerima  maklum balas.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebuda­ya­an, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu itu enggan mengulas punca beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu kepada Tan Sri Muhyiddin pada pertengahan bulan lalu.

“Setakat ini pihak ibu pejabat parti termasuk Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program makan durian bersama Kelab Media Terengganu (METRA) di Kampung Lubuk Batu, di sini.

Difahamkan, Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan negeri ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa parti di peringkat negeri, baru-baru ini.

Beliau turut mengesahkan akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Marang yang berkuat kuasa pada pertengahan bulan depan selepas menyelesaikan beberapa urusan pentadbiran parti di peringkat bahagian.

“Saya hanya meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan negeri dan Ketua Bahagian Marang, tetapi masih kekal sebagai ahli Bersatu,” katanya.

Sementara itu, dua lagi pemimpin kanan Bersatu Terengganu iaitu ADUN Telemong, Mohd. Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Mohd. Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari Bersatu negeri.

Difahamkan, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat turut dijangka mengikut jejak langkah Razali, Mohd Zawawi dan Mohd Husaimi.

Khazan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya memberi bayangan mengenai pendiriannya.

“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali. Jika dia letak jawatan, buat apa saya hendak terus memegang jawatan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Razali undur, Bersatu Terengganu dilanda krisis kepemimpinan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved