amree18/08/2026 - 10:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Kepler Club memperluas operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan lebih dua kali ganda kapasiti kepada 148 katil, sekali gus memperkenalkan reka bentuk kabin tidur dua tingkat serta pintu masuk persendirian sepenuhnya bagi setiap tetamu.
Pengembangan itu dilihat memberi nafas baharu kepada konsep penginapan di lapangan terbang apabila kemudahan tersebut menggabungkan bilik hotel dengan penggunaan ruang lebih efisien, dan menawarkan pengalaman penginapan berasaskan teknologi kepada penumpang yang memerlukan rehat singkat.
Kapasiti kemudahan itu meningkat daripada 64 kepada 148 katil menerusi pengenalan kabin DoubleKep, yang menurut Kepler Club merupakan reka bentuk dua tingkat pertama seumpamanya dalam terminal lapangan terbang dengan akses masuk persendirian bagi setiap kabin.
"Setiap kabin DoubleKep dilengkapi penebat bunyi, sistem audio yang boleh disambungkan melalui Bluetooth serta akses kepada senarai main Spotify, selain direka bagi memberikan tahap privasi lebih tinggi kepada pengguna ketika berehat," kata Kepler Club dalam satu kenyataan.
Kemudahan itu beroperasi 24 jam dan boleh ditempah mengikut jam, merangkumi kabin tidur pintar persendirian, ruang rehat dan bekerja, bilik mandi, tandas pintar, loker, Wi-Fi berkelajuan tinggi serta minuman ringan tanpa had.
Kepler Club turut melaksanakan proses daftar masuk dan keluar menerusi kiosk layan diri, manakala tetamu boleh membuka pintu kabin terus menggunakan aplikasi Kepler tanpa memerlukan kunci fizikal, kad akses atau singgah di kaunter penerimaan tetamu. Bagaimanapun, khidmat penerimaan tetamu selama 24 jam kekal disediakan bagi mereka yang memerlukan bantuan.

Sejak dilancarkan di KLIA, lokasi Airside Kepler Club mencatat penarafan 9.2 daripada 10 di Booking.com, menjadikannya penginapan dengan penarafan tertinggi dalam kalangan 182 hotel sekitar KLIA. Lokasi Landside pula mencatat 9.1, berdasarkan lebih 2,100 ulasan secara keseluruhan.
Melalui platform keahlian yang diperkenalkan pada 2025, pengguna aplikasi Kepler boleh memilih lima suasana iaitu Rainforest, Desert, Ocean, Mountain atau Fire, yang menetapkan pencahayaan dan suasana bunyi dalam kabin ketika ketibaan serta membantu membangunkan tetamu sebelum daftar keluar.
Kepler Club turut bekerjasama dengan artis Malaysia untuk menghasilkan reka bentuk beberapa kabin dengan karya seni asli tempatan dipamerkan bersama nama artis, sekali gus menjadikan ruang penginapan itu sebagai platform kecil untuk mengetengahkan kreativiti seni Malaysia.
Majlis perasmian rasmi Kepler Club KLIA turut dihadiri Duta Türkiye ke Malaysia, Nevzat Uyanık; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani; serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kepler Club, Ömer Alaettinoğlu.
Menurut Ömer, pengembangan kemudahan KLIA mencerminkan visi syarikat untuk menjadikan layanan hospitaliti lapangan terbang lebih cekap, moden dan mudah diakses.
Ditubuhkan di Türkiye pada 2018, Kepler Club kini mengendalikan lima kemudahan di tiga lapangan terbang antarabangsa iaitu Istanbul Sabiha Gökçen, KLIA dan Riga International Airport, dengan reka bentuk kabin DoubleKep turut menerima FAB Silver Award for Airport Sustainability. - DagangNews.com


