amree17/08/2026 - 17:01 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – TMC Life Sciences Berhad kini memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan strategi penjagaan berasaskan nilai bagi mendepani landskap penjagaan kesihatan swasta kian sengit.
Langkah ini bertujuan memberikan hasil klinikal berkualiti tinggi dan cekap secara mampan, sekali gus memastikan kumpulan kekal sebagai rakan pilihan bagi syarikat insurans dan pelanggan korporat.
Pertumbuhan kumpulan dijangka teguh didorong pengembangan kepakaran utama dan kepelbagaian asas hasil selain menyasarkan peningkatan campuran pesakit antarabangsa yang semakin bertambah baik.
"Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan mencatatkan hasil 14% kepada RM393.0 juta, mencerminkan pemulihan aktiviti perniagaan teras," kata TMC Life Sciences kepada Bursa Malaysia.
Prestasi kewangan yang kukuh itu menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) naik kepada RM25.7 juta bagi tempoh 12 bulan tersebut, berbanding RM7.1 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2025.
Lonjakan besar ini disokong oleh lantunan semula hasil dan inisiatif pengoptimuman kos, manakala bagi suku keempat sahaja, ia melaporkan hasil mencecah RM99.4 juta dengan PBT sebanyak RM7.1 juta.

Antara faktor utama yang memacu pendapatan TMC Life Sciences adalah kejayaan pengambilan ramai profesional sektor penjagaan kesihatan di fasiliti mereka serta penambahan kapasiti katil wad.
"Pengenalan perkhidmatan baharu turut membantu memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks, dan ia juga merekodkan intensiti kes yang lebih tinggi di hospital-hospitalnya," jelasnya lagi.
Usaha itu disokong oleh pemasaran berterusan bagi memperkasakan penjenamaan di peringkat tempatan dan antarabangsa, dengan strategi penjenamaan ini penting bagi menarik segmen pesakit lebih luas.
Sebagai tanda penghargaan kepada semua pemegang saham, Lembaga Pengarah TMC Life Sciences bersetuju agihan dividen satu peringkat akhir sebanyak 0.5763 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026.
Cadangan itu merupakan peningkatan ketara berbanding 0.1863 sen sesaham yang dibayar pada tahun kewangan sebelumnya, namun kumpulan kekal berwaspada terhadap gangguan rantaian bekalan semasa.
"Ia akibat situasi geopolitik global dan tekanan inflasi yang menjadi kebimbangan utama. Syarikat telah mengukuhkan kecekapan operasi bagi memastikan kelestarian operasi jangka panjang," katanya.
Strategi penjagaan berasaskan nilai yang diterapkan TMC Life Scences memberi imbangan antara mutu rawatan dan kemampanan kewangan, selari kehendak pesakit mahukan hasil terbaik pada kos munasabah.
Secara keseluruhan, dengan kedudukan kewangan yang stabil, ia komited terus memberi kecemerlangan dalam penjagaan pesakit, dan mengekalkan prestasi kompetitif kepada pelabur. - DagangNews.com





