Keputusan 2QFY25 dalam jangkaan, BIMB Securities positif terhadap prospek pertumbuhan sektor teknologi

TechnologyBusiness & Finance
9 Sep 2025 • 9:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keputusan 2QFY25 dalam jangkaan, BIMB Securities positif terhadap prospek pertumbuhan sektor teknologi

image is not available

09/09/2025 - 09:27

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Prospek pertumbuhan sektor teknologi diramal positif susulan keputusan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) berada dalam jangkaan, kata BIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhannya keputusan adalah stabil namun laluan pemulihan masih tidak sekata dan pihaknya kekal berhati-hati serta bersifat selektif dalam pemilihan saham dalam sektor itu.

"Kami memberi keutamaan kepada Zetrix AI Berhad dengan harga sasaran RM1.54 dan Dagang Nexchange Berhad (DNeX) pada 33 sen sesaham, berikutan pendedahan kedua-duanya kepada bidang pendigitalan.

"Sementara itu, ia mengekalkan saranan “pegang” ke atas Inari Amerton Berhad dengan harga sasaran RM2.23 sesaham kerana pemulihan bahagian frekuensi radio (RF) masih belum menyerlah," katanya dalam satu nota kajian.

Bagi Unisem (M) Berhad, BIMB Securities mengekalkan saranan “jual” dengan harga sasaran RM1.83 sesaham.

Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) menyaksikan firma penyelidikan itu menurunkan saranan daripada “pegang” kepada "jual" selepas kenaikan harga saham baru-baru ini, tanpa sebarang perubahan asas, dengan harga sasaran RM22.58 sesaham.

Selain itu, NeXG tidak diberikan sebarang penarafan sekali gus menamatkan liputan aktif ke atas syarikat tersebut sebagai sebahagian daripada semakan dalaman.

BIMB Securities, yang mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor teknologi bagi baki tahun ini berkata, pihaknya kekal optimis terhadap sektor itu.

Katanya, jualan semikonduktor global meningkat 7.8% suku ke suku pada 2Q25, dan dijangka berkembang 11.2% tahun ini menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), menandakan permintaan asas kekal kukuh, terutamanya didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).

Strategi semikonduktor nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), di samping aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil, dijangka memberi sokongan struktur kepada sektor ini, kata BIMB Securities.- DagangNews.com

standard