
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Januari tahun depan bagi keputusan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man yang berdepan pertuduhan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Keputusan sama ada Azlan, 67, dibebaskan atau diperintah membela diri di akhir pendakwaan kes itu akan ditentukan Hakim Azura Alwi yang telah selesai mendengar hujahan lisan kedua-dua belah pihak hari ini.
Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, Azlan akan dipanggil untuk membela diri, namun jika pendakwaan gagal mewujudkan prima facie dalam kes itu, Azlan akan dilepas dan dibebaskan.
Sekiranya Azlan diarah membela diri, perbicaraan ditetapkan pada 10 dan 12 Februari 26 Mac serta 16 dan 30 April.
Terdahulu dalam hujahan lisan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat berhujah, Azlan berniat jahat ketika mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta selama lima tahun berturut-turut bagi memperdaya Kerajaan Negeri Perlis.
Katanya, Azlan turut mengarahkan dua syarikat agensi pelancongan memindahkan wang diterima daripada kerajaan negeri ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Sementara, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berhujah, pertuduhan terhadap anak guamnya perlu dinilai berdasarkan dakwaan bahawa perjalanan seperti dinyatakan dalam pertuduhan tidak dilakukan.
Perbicaraan kes itu bermula 18 Julai 2024 dengan 21 saksi pendakwaan dipanggil yang mana antara saksi-saksi yang telah memberikan keterangan ialah bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) Shafiei Ismail, bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Norazlan Yahya.
Selain itu ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan Azlan, Herwardy Hashim dan Penolong Bahagian Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safwan Arbangi.
Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Justeru Azlan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk sebuah cawangan bank Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sebuah bank di Putrajaya serta sebuah hotel di sini mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Selain itu, tertuduh juga didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik kerajaan negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Keputusan akhir pendakwaan Azlan Man diketahui 20 Januari depan appeared first on Kosmo Online.






