KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram, akan diketahui 20 Januari depan.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes.
Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 10 hingga 12 Februari, 26 Mac, serta 16 dan 30 April 2027, sekiranya Azlan diperintah membela diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat berhujah Azlan membuat lima kali tuntutan perjalanan ke luar negara mengikut kelayakan beliau sebagai Menteri Besar pada 2013 hingga 2017, namun hasil siasatan mendapati perjalanan itu tidak pernah berlaku mengikut tarikh yang ditetapkan.
"Saksi pendakwaan ke-18 (SP18), bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwardy Hashim dalam keterangannya menyatakan beliau telah diminta oleh tertuduh untuk memberikan nombor akaun milik tertuduh kepada SP10, bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) Shafiei Ismail bagi tujuan memasukkan wang yang diterima oleh SKTT ke dalam akaun milik tertuduh.
"Ini kerana tertuduh ingin membatalkan perjalanan yang telah diluluskan melalui pesanan tempatan (LO) tersebut dan ingin membuat perjalanan itu sendiri," katanya.
Noralis berkata, berdasarkan keterangan SP17, bekas Penolong Akauntan di Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Mohd Aswad Abdul Razak, tuntutan perjalanan cuti seberang laut tidak boleh ditukar kepada tunai kerana khusus untuk perbelanjaan ke luar negara dan bayaran kepada ejen pelancongan telah disahkan Pejabat Menteri Besar.
"Keterangan ini turut disokong oleh SP12, Perbendaharaan Perlis Azmi Abdul Latif yang mana tertuduh tidak boleh mengambil wang ganti bagi tuntutan perjalanan cuti seberang laut tahun 2013 hingga 2017 yang telah dituntut. Sekiranya pembatalan perjalanan percutian ini dilakukan, pihak ejen pelancongan bertanggungjawab untuk membatalkan LO yang telah dihantar kepada mereka," katanya.
Selain itu, Noralis berkata tindakan tertuduh meminta wang dikembalikan ke akaun peribadinya setiap tahun, bukan disebabkan kesilapan atau kesalahan yang tidak disengajakan.
"Sekiranya perjalanan dibatalkan, wang berkenaan sepatutnya dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Perlis, bukannya diserahkan kepada tertuduh," katanya.
Sementara itu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata, Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan dana tahunan kepada Menteri Besar bagi tujuan lawatan ke luar negara dan bagi mendapatkan peruntukan berkenaan, Azlan perlu menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan bagi membuat tempahan perjalanan.
"Keseluruhan proses tuntutan bagi perjalanan ke luar negara telah dilaksanakan secara telus. Pihak pendakwaan mendakwa beliau (Azlan) tidak melakukan perjalanan tersebut tetapi mengemukakan tuntutan bagi perjalanan berkenaan, namun pegawai penyiasat menyatakan tertuduh telah melakukan perjalanan tersebut pada tarikh lain,” katanya.
Burhanudeen berkata, pihak pembelaan turut mengemukakan rekod pasport dan imigresen bagi menyokong dakwaan perjalanan yang berlaku.
Azlan, 67, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois daripada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau turut didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Selain itu, Azlan berdepan lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.- Bernama






