Keputusan Bursa Malaysia tidak jejas strategi pengagihan saham AirAsia X - Capital A

LocalBusiness & Finance
8 Jan 2026 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keputusan Bursa Malaysia tidak jejas strategi pengagihan saham AirAsia X - Capital A image is not available haziq08/01/2026 - 15:33 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Jan – Capital A Bhd menjelaskan keputusan Bursa Malaysia untuk tidak meluluskan permohonannya bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan pengagihan saham AirAsia X Bhd kepada pemegang saham tidak memberi kesan yang ketara terhadap latihan korporat kumpulan yang sedang berjalan.

 

Dalam satu kenyataan, Capital A berkata, strategi keseluruhan kumpulan kekal tidak berubah, dengan hanya pelarasan kecil dibuat terhadap garis masa penyempurnaan.

 

Menurut Capital A, pengagihan saham tersebut bergantung kepada penyempurnaan penempatan persendirian AirAsia X Bhd, memandangkan saham baharu AirAsia X perlu diterbitkan terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada pemegang saham Capital A. 

 

Susulan kelulusan Bursa Malaysia untuk AirAsia X melanjutkan tarikh akhir penempatan persendirian kepada 19 Januari 2026, garis masa Capital A akan diselaraskan dengan tarikh berkenaan.

 

Pada 6 Januari, Capital A mengumumkan Bursa Malaysia telah menolak permohonannya untuk mendapatkan lebih masa bagi menyempurnakan pengagihan saham AirAsia X kepada pemegang saham. 

 

Bagaimanapun, pengawal selia pasaran itu meluluskan permohonan Capital A untuk melanjutkan satu lagi permohonan berasingan melibatkan penyempurnaan cadangan penempatan persendirian, pengambilalihan AirAsia Aviation Group Ltd serta pemberian opsyen langganan sehingga 19 Januari.

 

Capital A turut menjelaskan pengumuman tarikh kelayakan pada 3 Disember 2025 dibuat berdasarkan jangkaan bahawa pelabur akan memenuhi keperluan dokumentasi bagi penempatan persendirian AirAsia X, yang pada asalnya disasarkan untuk disiapkan selewat-lewatnya 31 Disember 2025.

 

Pengumuman tersebut membolehkan Capital A mengemukakan permohonan tambahan kepada Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 bagi pengurangan modal saham terbitan kira-kira RM2.7 bilion, berdasarkan harga penutupan saham AirAsia X sebanyak RM1.62 pada tarikh kelayakan.

 

Menurut Capital A, tarikh kelayakan itu dipilih secara berhati-hati bagi memastikan kumpulan mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk mendapatkan kelulusan mahkamah bagi pelaksanaan cadangan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved