Keputusan DNA Muhammad Ridzuan dijangka diketahui esok - Bapa saudara

18 Sep 2026 • 4:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keputusan DNA Muhammad Ridzuan dijangka diketahui esok - Bapa saudara
Khairul

KLANG - [DIKEMAS KINI] Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti jasad Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dijangka diketahui seawal Sabtu.

Bapa saudaranya, Khairul Muhidin, 47, berkata, ujian berkenaan perlu dilakukan berikutan keadaan mayat menyukarkan pengesahan identiti menerusi pengecaman fizikal.

"Proses ujian DNA akan dijalankan selepas bedah siasat selesai pada petang Jumaat.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor forensik, keputusan ujian DNA mungkin boleh diperoleh esok (Sabtu)," katanya pada Jumaat.

Pada Ahad lalu, Muhammad Ridzuan bersama enam sekawan iaitu Mohd Shairazi Abdul Aziz, Muhd Hamiszar, Mohd Rizal, Mohd Shahril Abd Rahman, Zulfilkalnain dan Raja Mohd Rozi keluar memancing bagi mencari ikan cencaru.

Mereka dikatakan keluar bersama menaiki bot bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar menuju ke Permatang Sedepa, kira-kira 23.5 batu nautika (43 kilometer) dari Jeti Sementa pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, selepas dilaporkan hilang, empat daripada mereka iaitu Mohd Shairazi, Muhd Hamiszar, Mohd Rizal dan Zulfilkalnain dijumpai selamat dalam keadaan lemah oleh nelayan pukat tunda pada Selasa lalu di perairan Sekinchan, Sabak Bernam.

Mohd Rizal kini dipindahkan ke sebuah hospital swasta, di sini dan dilaporkan stabil, manakala seorang lagi mangsa terselamat, Muhd Hamiszar yang juga merupakan anak saudara kepada Khairul kini dirawat di Hospital Banting.

Pada pagi Rabu, media melaporkan jenazah Allahyarham Mohd Shahril dijumpai dalam keadaan terapung dan diikat dengan tong serta jaket keselamatan, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.

Sinar Harian kemudiannya melaporkan mayat yang ditemukan terapung di perairan Perak pada Khamis disahkan seorang daripada mangsa bot pemancing karam iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pada jam 4.26 petang, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan berhubung penemuan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung.

Dalam pada itu, Khairul berkata, sekiranya semua proses dapat diselesaikan pada Sabtu, pengurusan jenazah akan disempurnakan oleh Unit Khidmat Van Jenazah (UKVJ) Wan Chai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Kebun Barat, Kampung Jalan Kebun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved