
KLANG: Identiti mayat yang ditemukan semalam dekat perairan Hutan Melintang, Perak dipercayai Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, iaitu salah seorang daripada tujuh pemancing terlibat dalam tragedi bot karam di Permatang Sedepa pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pengecaman dibuat oleh keluar secara bergambar selepas ditemukan pada kedudukan 03°43.124′ N, 100°37.570′ E.
“Hasil pengecaman awal oleh salah seorang waris berdasarkan gambar serta kasut yang dipakai mangsa, mayat tersebut dipercayai sebagai Muhammad Ridzuan, iaitu salah seorang daripada dua mangsa yang masih hilang.
“Dengan penemuan terbaharu itu, enam daripada tujuh mangsa sudah ditemui, iaitu empat dalam keadaan selamat dan dua meninggal dunia. Seorang lagi mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49 tahun, masih belum ditemui,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, jenazah kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan seterusnya akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut.
Semalam, mayat seorang lelaki dilaporkan ditemukan dalam keadaan terapung dengan memakai jaket keselamatan kira-kira pukul 4.26 petang oleh sebuah bot nelayan sebelum dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak.
Pegawai Operasi Maritim Malaysia Selangor, Leftenan Mohd. Syafiq Sazali berkata, mayat pemancing itu ditemui kira-kira 5.5 kilometer dari sempadan perairan negeri ini sebelum Kapal Maritim (KM) Nusa digerakkan ke tempat tersebut.
Dalam pada itu, Ramsay memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada hari kelima hari ini bermula pukul 7 pagi tadi.
“Operasi masih melibatkan polis, Maritim Malaysia Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan bagi meneruskan usaha mengesan mangsa terakhir.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tragedi yang menimpa tujuh pemancing hilang termasuk seorang tekong di perairan berhampiran One Fathom Bank atau Permatang Sedepa, di sini pada Ahad lalu didakwa berpunca daripada bot dinaiki mereka bocor akibat dipukul ombak besar.
Perkara itu dimaklumkan oleh Khairul Muhidin, 47, yang memberitahu kesemua mereka dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan menghampiri rumah api di sana. – UTUSAN
The post Mayat ditemui semalam dipercayai Muhammad Ridzuan appeared first on Utusan Malaysia.






