
RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paginatan Datuk Abidin Madingkir (gambar) berkata keputusan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat demi kepentingan rakyat.
Bercakap kepada media pada Selasa Abidin berkata selepas membuat keputusan untuk keluar daripada Star beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti lain di bawah GRS sebaliknya memilih untuk menjadi ahli terus GRS memandangkan gabungan itu juga merupakan sebuah parti selain daripada gabungan.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini saya akan membuat keputusan apabila tiba masanya iaitu setelah menerima keputusan rasmi daripada kepimpinan parti (Star).
“Selagi tiada kepastian di peringkat kepimpinan saya tidak dapat membuat sebarang keputusan namun apabila tiba masa untuk saya membuat keputusan harap semua pihak faham bahawa ia dibuat demi kepentingan rakyat bukan untuk diri sendiri.
“Saya juga berharap keputusan ini akan mendapat sokongan semua penyokong saya khususnya mereka yang memegang jawatan kepimpinan memandangkan keputusan dibuat untuk manfaat rakyat Ranau,” katanya.
Abidin berkata selaras dengan keputusan untuk kekal dalam GRS penyokong boleh yakin bahawa visi asalnya tetap tidak berubah dan bakal terus diperjuangkan.
Beliau turut mengingatkan semua barisan kepimpinannya bahawa penglibatan dalam politik tidak seharusnya demi kepentingan peribadi sebaliknya demi rakyat.
Keputusan Abidin untuk kekal bersama GRS menerima sokongan padu daripada kepimpinan di Paginatan dengan ramai penyokong menyatakan kesetiaan mereka kepada Abidin menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Terdahulu, Star bersama Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah–Pakatan Harapan (GRS–PH) pada Khamis lalu.



