‘Penambahan unit Rumah Sabah Maju Jaya cermin keprihatinan telun Kerajaan GRS’

6 Oct 2025 • 12:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Keputusan Kerajaan Negeri untuk menambah jumlah unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada 40 kepada 50 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri mulai tahun depan mencerminkan keprihatinan tulen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap rakyat, khususnya pasangan muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (gambar) berkata inisiatif yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani keperluan perumahan rakyat dan meringankan beban kos sara hidup mereka.

“Peruntukan tambahan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada golongan muda yang baru membina kehidupan tetapi juga melambangkan keberkesanan dasar pembangunan SMJ yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat biasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nizam berkata projek Rumah Mesra SMJ mencerminkan keikhlasan dan tekad Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara inklusif di semua kawasan sama ada bandar mahupun luar bandar.

Tambahnya, strategi kerajaan yang menggabungkan kerjasama sektor awam dan swasta merupakan pendekatan praktikal serta berpandangan jauh, yang mempercepatkan pembangunan sambil membolehkan sumber kewangan negeri disalurkan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji telah membuktikan bahawa agenda SMJ bukan sekadar slogan tetapi satu pelan tindakan yang dilaksanakan dengan baik berdasarkan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Nizam menyeru rakyat Sabah, khususnya golongan muda, agar melihat inisiatif ini sebagai bukti jelas keikhlasan GRS dalam mengutamakan kebajikan rakyat berbanding terlibat dalam retorik politik.